PERWAKILAN QURAISY MENEMUI ABU TALIB
Ibnu Ishak meriwayatkan; tokoh-tokoh pemuka Quraisy bergerak menemui Abu Talib dan mereka bersuara: Wahai Abu Talib, sebenarnya anak saudaramu itu telah mencela tuhan-tuhan kita, memperbodohkan agama pegangan kita, memperkecilkan pemikiran kita dan mendakwa datuk nenek kita dalam kesesatan. Di sini kami menuntut samada kamu berhentikannya dari kata-katanya itu, atau berikan kami laluan untuk kami buat perhitungan dengannya. Kamu pun sama dengan kami juga, tidak mempersetujuinya, ayuh kita bersama-sama menghalangnya. D sini Abu Talib menjawab kepada mereka dengan kata-kata yang lunak dan jawapannya pun bermuslihat, dengan itu mereka semua pulang, sedang Rasulullah s.a.w kekal dengan usahanya itu mengembang agama Allah dan menyeru kepadanya.
MAJLIS PERMESYUARATAN BERSIDANG UNTUK MENCEGAH JEMAAH HAJI DARI MENDENGAR SERUAN RASULULLAH S.A.W
Di dalam tempoh hari-hari ini, timbul satu perkara baru yang merunsingkan Quraisy kerana musim haji pun sudah tidak berapa bulan lagi, sedang dakwah secara terang-terangan mula mengorak langkahnya. Rombongan haji tidak lama lagi akan tiba, mereka harus ada satu kata-kata sakti mengenai diri Muhammad s.a.w yang mampu menghalang dakwahnya daripada mempengaruhi jiwa bangsa Arab.
Dengan itu mereka berkumpul bersama Al-Walid Ibn Al-Munghirah, membentuk kata-kata sakti itu, maka kata Al-Walid: "Kamu harus bersatu dan jangan ada di antara kamu yang berselisih atau mendusta antara satu sama lain, atau ada yang menolak pendapat orang lain, maka mereka semua sekata. Ayuh kamu yang kemukakan."
Lalu mereka menyebut: "Kita katakan dia seorang sami." Jawab Al-Walid: "Demi Allah dia bukan seorang sami, semua kita pernah melihat sami-sami, kata-katanya itu bukan kata-kata sami atau gurindamnya. " Kata mereka: "Jadi kita katakan dia gila." Kata Al-Walid: "Dia tidak gila, kan semua kita pernah tengok orang gila dan kita kenalinya, cakapnya bukan repekan."
Kata mereka: "Jadi kita katakan dia seorang penyair" Kata Al-Walid: "Tidak dia bukan penyair, sebab semua kita kenali jenis-jenis syair, sama ada yang berbentuk raj 07 atau hazajnya, kata-katanya itu bukan syair, maka kata mereka: "Kalau itu pun tidak, ita katakan dia tukang sihir." Kata Al-Walid: "Sihir pun bukan sebab semua kita mengenali sihir itu, kata-katanya itu bukan mentera atau jampi sihir." Maka kata mereka: "Kalau semuanya ini tidak, maka apa yang hendak kita kata?"
Maka Al-Walid pun berkata: "Demi Allah kata-katanya itu begitu manis, bagai sepohon pokok bawahannya sangat subur, cabangnya berbuah, cakap-cakap kamu semua itu karut belaka, paling hampir sekali kamu berkata dia seorang ahli sihir kerana kata-katanya itu memukaukan, kata-katanya itu adalah sihir yang boleh memecah belahkan di antara seseorang dengan ayahnya atau saudaranya atau isteri atau dengan seluruh keluarganya, oleh itu hindarlah dri kamu darinya."
Sesetengah riwayat mengatakan bahawa Al-Walid setelah menolak semua bentuk cadangan pemuka-pemuka Quraisy tadi, beliau telah dipinta, dengan kata mereka: "Cuba kamu tunjukkan kepada kami satu pendapat yang kemas dan tidak boleh diperbodohkan."
Jawab Al-Walid kepada mereka: "Berilah kepada aku tempoh untuk ku berfikir". Dengan itu Al-Walid pun cuba berfikir dan berfikir, akhirnya beliau kemukakan pendapat tadi.
Allah s.w.t mendedahkan kisah Al-Walid itu di dalam surah Al-Muddasir sebanyak tujuh ayat:
Kerana sesungguhnya ia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Quran.
Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)?
Sekali lagi: binasalah dia hendaknya! Bagaimana ia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)?
Kemudian ia merenung dan memikirkan (berkali-kali: jalan-jalan mencaci Al-Quran, tetapi ia gagal);
Setelah itu ia memasamkan mukanya serta ia bertambah masam berkerut;
Kemudian ia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh,
Serta ia berkata: "(Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya);
"Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!"
Al-Muddaththir x:18-25
Setelah majlis permesyuaratan bersetuju untuk menerima pakai cadangan Al-Walid, maka semua mereka mengawal pintu masuk orang-orang haji di musim itu, tak seorang pun yang tidak diberi maklumat yang jahat itu, malah kesemua mereka menerima peringatan dari pemuka-pemuka Quraisy.
Yang melaksanakan tugas jahanam itu ialah Abu Lahab, kerana apabila Rasulullah s.a.w mengikuti sesetengah orang di musim itu ke kediaman mereka, ke pasar Ukaz, Mijannah dan Zul Majaz untuk mendakwah mereka ke agamanya, Abu Lahab akan mengekori dari belakangnya dan memberi tahu kepada mereka: "Jangan kamu percaya dia, dianya seorang yang sudah keluar agama serta mendusta."
Hal ini menyebabkan apabila orang-orang Arab balik dari haji, mereka menyebarkan kisahnya di seluruh pelusuk bumi Arab.
PELBAGAI CARA MENENTANG DAKWAH RASULULLAH S.A.W
Setelah mana kafir Quraisy mendapat tidak ada sesuatu pun yang boleh memaling atau melemahkan Muhammad dari usaha dakwahnya, mereka pun terus memikir lagi dan mencari jalan untuk mencegah dakwahnya itu, dalam bentuk dan cara-cara yang boleh diringkaskan seperti berikut:
1. Memperolok-olok, memperlekeh-lekehkan, mempermain-mainkan, mendusta dan mempersendanya. Semuanya ini bertujuan untuk melemahkan kaum muslimin serta meruntuhkan kekuatan semangat mereka. Mereka lemparkan Rasulullah s.a.w dengan berbagai tuduhan yang nakal, maki hamun dan memanggil Rasulullah s.a.w sebagai orang gila.
Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): "Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Qur'an, sesungguhnya engkau adalah orang gila".
Al-Hijr x:6
Mereka melabelkan Baginda sebagai sihir dan dusta.
Dan mereka (yang mengingkar kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, dari kalangan mereka sendiri. Dan mereka yang kafir itu berkata: "Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta.
Shaad: 4
Mereka mengawasi Baginda dan memerhati Rasul dengan pandangan penuh kebencian dan rasa penuh jijik.
Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian), semasa mereka mendengar Al-Quran sambil berkata: "Sebenamya (Muhammad) itu, sungguh-sungguh gila ".
Al-Qalam: 51
Apabila Baginda duduk dilingkungi golongan lemah "Al-Mustadh'afiin", Quraisy mempersenda-sendakannya dengan berkata; "Itulah dia sahabat-sahabat yang dikurniakan Allah ke atasnya."
Maka Allah menjawab untuk RasulNya:
"Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang yang bersyukur?
Al-An'aam: 53
Hal mereka ini sama seperti yang diceritakan oleh Allah kepada kita:
"Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman. Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya). Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira; Dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata: "Sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat!" Pada hal mereka tidak diutus untuk menjaga sesat atau tidaknya orang-orang yang beriman itu".
Al-Muthaffifiin: 29-33
2. Mencacatkan imej ajaran Islam dan menimbulkan kekeliruan, meluaskan dakyah palsu, mereka cerita-cerita palsu mengenai ajaran-ajaran Islam dan peribadi Rasulullah s.a.w itu sendiri, menyibar luas semua dakyah ini supaya tidak memberi peluang kepada orang ramai memiki'r mengenai dakwah Rasulullah s.a.w, mereka terus menggembar-gemburkan tuduhan mengenai Al-Quran yang ianya sebagai dongeng rekaan orang kuno.
Dan mereka berkata lagi: "Al-Quran itu adalah cerita-cerita dongeng orang dahulu kala, yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu. Dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafalnya)".
Al-Furqaan: 5
Dan mereka menyifatkan Rasulullah s.a.w sebagai manusia biasa yang tidak mempunyai sebarang keistimewaan apa pun.
Dan mereka pula berkata: "Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain) ? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya (sebagai saksi yang membenarkannya).
Al-Furqaan: 7
Contoh kecaman mereka boleh dilihat banyak sekali disebutkan di dalam Al-Quran.
3. Menyaingi Al-Quran dengan dongeng-dongeng silam, menyogok orang ramai dengan dongeng-dongeng supaya mereka sibuk dengannya. Sebagaimana yang diceritakan, di mana An-Nadr bin Al-Haris telah menyaran kepada Quraisy dengan katanya: Wahai kalian Quraisy, demi Allah sebenarnya kamu ini telah ditimpa dukacita hingga hari ini kamu belum mampu mengatasinya, Muhammad s.a.w ini pada permulaannya seorang kanak-kanak muda, di antara kamu, yang kamu meredhai dengannya, bercakap benar, sangat beramanah, sehingga apabila kamu dapati di dua hujung pipitnya "pelipis" beruban dan beliau membawa kepada kamu sesuatu yang telah dikemukakan itu, lalu kamu kata: Dia seorang ahli sihir. Demi Allah dia bukan ahli sihir, kerana semua kita pernah menyaksikan ahli sihir dengan kerja-kerja dan pukauan mereka, lalu kamu kata: Dia telah menjadi sami, demi Allah dia bukan sami, kerana semua kita pernah malah biasa dengan sami dan ungkapan-ungkapan sami melalui gurindam mereka, kemudian kamu kata dia adalah penyair, demi Allah dia bukan penyair kerana kita sudah biasa mendengar syair dengan jenis-jenisnya sama ada rajaz atau hazaj, setelah itu kamu kata yang ianya gila, demi Allah, beliau tidak gila kerana kita juga pernah berhadapan dengan orang gila, cakapnya itu bukan rapuan si gila atau sasaunya, wahai kalian Quraisy, uruslah persoalan yang kamu sedang hadapi ini, demi Allah kamu sudah ditimpa bala yang berat.
Setelah itu An-Nadhr pergi ke Al-Hirah, di sana beliau mempelajari perbualan raja-raja Parsi, perbualan Rustam dan Aspandiar, bila beliau pulang dan mendapati Muhammad sedang mengadakan majlis zikrullah dan peringatan penyiksaan di akhirat, An-Nadhr pun bertindak membuat majlis yang sama dengan katanya: Demi Allah sesungguhnya perbualan Muhammad itu taklah sehebat perbicaraanku, dengan itu beliau pun menselokakan hikayat raja-raja Parsi, Rustam dan Aspandiar. Di akhiri dengan bidasan katanya: "Dengan apakah yang kamu katakan Muhammad itu lebih baik dari bicara ku."
Terdapat riwayat dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa An-Nadhr telah membeli beberapa abdi perempuan, kerana apabila beliau mengetahui di sana terdapat seorang lelaki yang tertarik dengan Rasulullah s.a.w maka beliau mengirim salah seorang hamba perempuannya tadi untuk mempersonakannya dengan minuman keras dan makanan-makanan yang dibekalkan, buat menghiburkannya dengan nyanyian-nyanyian, hingga dengan itu kecenderungannya kepada Islam terhakis dan pupus dari hati nalurinya. Mengenai hal ini Allah telah menurun ayat-ayatNya:
Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah..
Luqman: 6
Melalui tawaran pihak Quraisy cuba mempertemukan Islam dengan Jahiliyyah di suatu persimpangan, di mana pihak musyrikin akan meninggalkan sebahagian dari kepercayaan mereka dengan syarat Rasulullah s.a.w akan meninggalkan sebahagian dari kepercayaannya.
Mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah lembut (pada zahirnya terhadapmu).
Al-Qalam: 9
Terdapat riwayat yang disampaikan oleh Ibnu Jarir dan al-Tabrani yang bermaksud: Bahawa pihak musyrikin telah mengemukakan kepada Rasulullah s.a.w tawaran iaitu supaya Baginda menyembah tuhan-tuhan mereka untuk selama setahun, kemudian pihak mereka akan menyembah tuhannya setahun dengan cara bergilir-gilir. Dalam satu riwayat lain oleh Abd bin Hamid yang bermaksud: Bahawa pihak Quraisy telah menawarkan Rasulullah s.a.w permintaan mereka dengan katanya: Sekiranya kamu mengiktiraf berhala-berhala kami sebagai tuhan, maka kami akan menyembah tuhan kamu.
Ibnu Ishak telah meriwayatkan sebuah hadith dengan sanadnya, katanya: Semasa Rasulullah s.a.w sedang bertawaf di Kaabah, Baginda telah dipintas oleh Al-Aswad bin Al-Mutalib bin Asad bin Abd Al-'Uzza, Al-Walid bin Al-Mughirah, Umaiyyah bin Khalaf dan al-'Aas bin Wail As-Sahmi, mereka berempat ini, kiranya di antara tokoh-tokoh yang berpengaruh di kalangan kaum mereka, kemudian kata mereka: Wahai Muhammad, ayuh kita bersetuju untuk kami menyembah apa yang kamu sembah dan kamu sembah apa yang kami sembah, dengan itu bererti kita sudah berkongsi sesuatu perkara, sekiranya apa yang kau sembah itu ada kebaikan melebihi dari apa yang kami sembah maka kami turut mendapat habuan dari kebaikan itu dan sekiranya yang kami sembah ini ada kebaikan yang lebih dari apa yang kamu sembah itu maka kamu juga akan mengaut kebaikan itu bersama dengan kami, dengan itu turunlah ayat:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! "Aku tidak dkan menyembah apa yang kamu sembah. "Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. "Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. "Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. "Bagi kamu ugama kami dan bagiku ugamaku ".
Al-Kafiruun :1-6
Demikianlah kehendak Allah dengan membuat kata putus yang tegas terhadap tawaran mereka yang lucu itu. Berlakunya periwayatan yang berbagai ini, mungkin kerana mereka telah membuat beberapa percubaan satu demi satu.
PENYIKSAAN
Pihak musyrikin telah menggunakan berbagai cara seperti yang telah kami sebutkan satu demi satu dengan tujuan untuk menghalang kelancaran dakwah sejak dari kelahirannya di permulaan tahun keempat. Semua cara mereka telah mereka usahakan untuk beberapa bulan dan beberapa minggu tanpa melewati batas-batasnya, kini berpindah kepada cara-cara penyiksaan dan penindasan, tapi setelah mereka dapati cara mereka itu tidak memberi kesan untuk menghalang perjalanan dakwah Islamiah, maka mereka sekali lagi berkumpul. Di sini mereka telah membentuk satu lujnah yang anggotanya terdiri dari dua puluh lima orang tokoh dari pemuka Quraisy. Lujnah ini oleh Abu Lahab bapa saudara Rasulullah s.a.w, dan setelah bermesyuarat dan bertukar pendapat, lujnah ini membuat keputusan yang tegas terhadap Rasulullah s.a.w dan sahabat Baginda. Lujnah ini bersetuju untuk tidak meninggal sebarang cara pun untuk memerangi Islam samada menyakiti Rasulullah s.a.w, menyiksa penganut-penganutnya malah mereka akan menggunakan segala bentuk kekerasan, penyiksaan dan penindasan.
Kali ini mereka bertegas untuk melaksanakan keputusan yang mereka sepakati. Tindakannya terhadap kaum muslimin terutama yang lemah dan daif adalah senang sahaja, tidak banyak halangan, tetapi terhadap Rasulullah s.a.w adalah suatu hal yang sukar, kerana Rasulullah s.a.w seorang yang tangkas, disegani dan berperibadi unggul, jiwa yang dikagumi lawan dan kawan, pasti yang berdepan dengannya akan mengagungi dan menyanjunginya. Tiada siapa yang berani melakukan kejahatan dan keburukan terhadapnya, kecuali jenis manusia bodoh dan nakal sahaja. Namun demikian Baginda masih tetap di bawah jagaan Abu Talib. Di mana Abu Talib di antara tokoh-tokoh Makkah yang terbilang, beliau disanjung dari turun temurun di kalangan semua orang, tak siapa pun berani memperkecil statusnya dan mencabar maruahnya, kedudukan inilah menggugat pihak Quraisy dan membingungkan mereka. Justeru itu sampai ke mana kesabaran itu dapat bertahan, ketika berhadapan dengan dakwah yang beriya-iya untuk membenteras kepimpinan agama yang mereka sandang selama ini dan ketrampilan mereka di arena keduniaan.
Mereka melancarkan pencerobohan dan keganasan terhadap Rasulullah s.a.w terutama oleh Abu Lahab sendiri, malah beliau ini telahpun mengganas terhadap Rasul di hari pertama dakwahnya, sebelum pihak Quraisy membuat apa-apa sikap. Telahpun kita sebut sebelum ini tindakan terhadap Rasulullah s.a.w di majlis Bani Hashim, di atas bukit Safa beliau telah cuba memukul Rasulullah s.a.w dengan ketui batu. Sebelum kebangkitan Rasulullah s.a.w Abu Lahab telah mengahwinkan anak lelakinya iaitu Utbah dan Utaibah dengan dua puteri Rasulullah s.a.w, iaitu Ruqaiyah dan Ummi Kalthum.
Tetapi bila Rasulullah s.a.w diutus dan Baginda menyeru orang ramai kepada Islam, Abu Lahab telah membuat tindakan membabi buta dengan memaksa kedua-dua anaknya supaya menceraikan dua puteri Rasulullah s.a.w itu. Dengan kekerasan lalu mereka pun menceraikan.
Dan apabila Abdullah anak lelaki Rasulullah s.a.w meninggal dunia, Abu Lahab melompat kegembiraan, meluru beliau pergi menemui kawan-kawan menceritakan kepada mereka berita baik baginya iaitu Rasul kematian anak keturunannya, Muhammad s.a.w menjadi kudung bererti terputus zuriat di dunia ini.
Sebagaimana yang telah kita ceritakan sebelum ini, di mana Abu Lahab bertugas 1mengekori Rasulullah s.a.w di belakang Baginda di musim haji ke mana sahaja Baginda pergi di pasar-pasar Makkah, untuk mendusta dan membohong Baginda, dalam hal ini Tariq bin Abdullah Al-Majari meriwayatkan hadith yang memberi makna bahawa Abu Lahab ini bukan sekadar membohongi Baginda sahaja malah lebih dari itu dengan melontar Baginda dengan ketul-ketul batu hingga pecah berdarah tumit mulia Baginda itu.
Isteri Abu Lahab, bergelar Ummu Jamil bernama Urwa binti Harb bin Umaiyah kakak Abu Sufian tidak kurang kafir dari suaminya memusuhi Rasulullah s.a.w. Beliau membawa batang-batang duri untuk menjerangkap samar dijalan-jalan yang dilalui Rasulullah s.a.w, malah di malam hari beliau datang ke hadapan rumah Rasulullah s.a.w dengan meletakkan batang-batang duri di hadapan pintu rumah Rasulullah s.a.w. Selain dari itu lidahnya juga tidak kurang bisanya memaki hamun Baginda, mulutnya lucah membuat fitnah dan penipuan terhadap Baginda, memarakkan api fitnah, beliau adalah batu api menimbulkan perkelahian terhadap Rasulullah s.a.w, untuk itu maka Al-Quran menyifatkannya sebagai pembawa kayu api neraka. Sebaik sahaja beliau mendengar ayat-ayat Al-Quran turun mengenai dirinya dan suaminya, terus beliau menemui Rasulullah s.a.w sedang Baginda bersama-sama Abu Bakr sedang duduk di masjid Al-Haram, beliau membawa segenggam anak batu, dengan takdir Allah, beliau telah di butakan penglihatan (daripada melihat Rasulullah s.a.w), sehingga tidak nampak lagi Rasulullah s.a.w, hingga terpaksa beliau bertanya dengan katanya: "Wahai Abu Bakr mana dia kawanmu itu, telah pun sampai kepengetahuanku yang dia telah memperbodoh dan mencelakakan aku? Demi Allah kalau dia ada di sini aku hendak sumpat anak batu ini ke dalam mulutnya, demi Allah tidak tahukah kamu yang aku ini penyair yang boleh bermadah mencelanya."
Dia yang dibenci kami menentangnya. Urusannya mentah-mentah kami tolak. Agama pegangannya kami ketepikan.
Setelah beliau beredar dari situ Abu Bakr bertanya Baginda: Wahai Rasulullah s.a.w tidak nampakkah beliau yang tuan hamba berada di sini, jawab Rasulullah s.a.w, beliau tidak dapat melihat daku, sebenarnya Allah telah pun membutakan matanya hingga tidak melihat daku. Ibn Ishak membilang mereka yang menyakiti Rasulullah s.a.w. Mereka yang menyakiti Rasulullah s.a.w di rumahnya ialah Abu Lahab, Al-Hakim bin Abu al-'Aas bin Umaiyah, Uqbah bin Abi Mui't, 'Adi bin Hambra' dan al-Thaqafi Ibn Al-Asda' Al-Huzali, mereka ini semua adalah jiran Baginda. Semua mereka mati sebagai kafir kecuali Al-Hakim bin Abi Al-'Aas sahaja yang memeluk Islam. Ada di antara mereka yang mengheret pundi najis biri-biri dan menghumban ke atas kepala Rasulullah s.a.w semasa Baginda bersembahyang, malah ada yang sanggup melontar pundi tadi ke dalam periuk Rasulullah s.a.w bila diangkat ke dapur untuk memasak. Rasulullah s.a.w pernah terpaksa berselindung di sebalik batu untuk bersembahyang.
Dalam peristiwa seperti ini di mana apabila Rasulullah s.a.w dicampak ke atasnya dengan najis itu Baginda akan terus keluar menemui pembantunya dengan berkata di hadapan pembantunya: "Wahai Bani Abdul Manaf! Di manakah hubungan kejiranan?" Lalu dibuangnya najis tadi ke tepi jalan. Imam Al-Bukhary meriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud (r.a.): Bahawa Uqbah bin Abi Mu'it semakin jahat dan bertambah nakal, semasa Rasulullah s.a.w bersembahyang di Kaabah, dan Abu Jahal pula sedang beristirehat bersama-sama kuncu-kuncunya, maka berkata sesetengah dari mereka, sesiapa di antara kamu yang sanggup mengambil uncang najis sembelihan terbuang itu dan meletakkan ke atas belakang Muhammad semasa beliau sedang sujud itu, maka bangun yang ternakal di antara mereka iaitu Uqbah bin Abi Muit beliau membawa uncang najis itu dan beliau tunggu hingga apabila Rasulullah s.a.w sujud maka beliau meletakkannya ke atas belakang Rasulullah s.a.w di antara dua bahunya.
Daku pada masa itu sedang menyaksi tindakan nakal itu. Daku tak boleh berbuat apa-apa, kalauku boleh menahannya nescaya ku lakukan. kata Ibnu Mas'ud lagi: Dengan itu mereka tertawa sesama mereka dan menghayun badan mereka ke kiri dan ke kanan kerana terlalu suka, dan Rasulullah s.a.w masih dengan sujudnya, Baginda tidak mengangkatkannya hinggalah Baginda didatangi anak perempuannya Fatimah, mencampak buang benda itu dari belakang Baginda, kemudian barulah Baginda mengangkat kepalanya dan terus berdoa: Ya Allah Ya Tuhanku, binasakanlah Quraisy sebanyak tiga kali. Pihak Quraisy terasa berat dengan doa Rasulullah s.a.w tadi, kata Ibnu Mas'ud. Mereka terasa begini kerana mereka mengetahui bahawa doa di tempat ini adalah mustajab dan makbul. Setelah itu Baginda menyebut dengan katanya: Binasalah Abu Jahal Utbah bin Rabi'ah, Shaibah bin Rabiah Al-Walid bin Utbah, Umaiyyah bin Khalaf dan Utbah bin Abi Muit, (yang ketujuh itu beliau tidak mengingatinya) demi Allah yang jiwaku ditangannya daku telah menyaksi orang yang disebutkan Rasulullah s.a.w di dalam doanya itu terbunuh dan dicampak ke dalam parit penanaman mayat, iaitu parit Badar.
Umaiyyah bin Khalaf ini bila-bila sahaja melihat Rasulullah s.a.w, beliau pasti mencela dan memaki hamun Baginda, mengenai ini Allah menyebut di dalam firmanNya:
"Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji"
Al-Humazah: 1
Kata Ibnu Hisham: Al-Humazah: ialah memaki seseorang itu dengan terang-terangan, sambil memejam sedikit matanya dan menjeling. Manakala Al-Lumazah ialah mencela seseorang dengan cara berselindung dan menyakitinya. Manakala saudaranya Ubai bin Khilaf adalah berkawan rapat dengan Uqbah bin Abi al-'Aas. Suatu hari Uqbah telah menghampiri Rasulullah s.a.w dan mendengar dari Baginda kata-katanya, tapi bila di ketahuinya Ubai, beliau memarahi Uqbah dan mengkritik tindakan itu. Seterusnya Ubai meminta supaya Uqbah meludah ke muka Rasulullah s.a.w dan beliau lakukannya, di suatu ketika Ibnu Khalaf sendiri telah menghancurkan tulang-tulang reput lalu di tiupnya di angin yang lalu ke muka Rasulullah s.a.w. Al-Akhnas Ibn Syuraiq al-Thaqafi juga adalah di antara tokoh musyrikin yang menyakiti Rasulullah s.a.w. Al-Quran telah menyifatkannya dengan tujuh gelaran sebagaimana firman Allah:
Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai), Yang sangat-sangat menghalangi amalan-amalan kebajikan, agama, lagi yang sangat-sangat berdosa, Yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya.
Al-Qalam: 10-13
Abu Jahal di suatu masa beliau pernah mendatangi Rasulullah s.a.w dan mendengar ayat-ayat Al-Quran, kemudian beredar dari situ, tanpa mempercayai atau menyahutnya, malah penuh biadab dan tidak takut menyakiti Rasulullah s.a.w dengan kata-katanya, menghalang Rasulullah s.a.w dan merasa sombong dengan tindakannya yang biadab itu, berasa bangga dengan kemungkarannya, seolah-olah beliau melakukan sesuatu yang patut disanjung, perangainya ini telah disebut oleh Allah di dalam firmannya:
Maka ia tidak mengakui kebenaran dan ia tidak mengerjakan sembahyang (yang difardukan mengerjakannya)
Al-Qiyaamah :31
Dan beliau telah menghalang Rasulullah s.a.w dari bersembahyang, di hari pertama beliau melihat Rasulullah s.a.w bersembahyang di Kaabah. Suatu ketika beliau melintasi di situ dan terlihat Rasulullah s.a.w bersembahyang di makam Ibrahim, maka beliau berkata kepada Muhammad s.a.w: Wahai Muhammad s.a.w bukankah aku telah larang kau bersembahyang di sini. Beliau bertindak keras dan mengutuk Baginda penuh herdik dan menggertak: Wahai Muhammad dengan apa yang kau maksud hendak mengutuk daku? Demi Allah sesungguhnya akulah orang terbanyak penyokong di lembah ini, dengan itu Allah menurunkan firmanNya:
Kemudian biarlah ia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya),
Al-'Alaq :17
Dalam satu riwayat menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w telah memegang leher bajunya dan menggoncang-goncangnya sambil berkata:
(Wahai orang yang kufur ingkar!) sudahlah dekat kepadamu kebinasaanmu, sudahlah dekat! Kemudian api nerakalah lebih layak bagimu, lebih layak.
Al-Qiyaamah :34-35
Maka jawab musuh Allah itu: Wahai Muhammad, kau hendak mengugut daku? Demi Allah, tidak kau dan tuhan kau berbuat apa-apa pun dengan daku, akulah orang yang termulia yang bergerak di antara bukit bukau bumi ini. Abu Jahal masih tidak sedar lagi dari keruntuhan dan kejatuhan maruahnya tadi, malah semakin menjadi-jadi kenakalannya. Al-Imam Muslim telah mengeluarkan hadith dari Abu Hurairah: Abu Jahal telah berkata: Muhammad boleh bersujud mukanya ke tanah di hadapan kamu? Jawab mereka! Ya! kata Abu Jahal: Demi Al-Lata dan Al-'Uzza sekali ini akan ku lanyak tengkoknya sekiranya aku lihat dia sedang sujud. Allah izinkan beliau masuk ke perkarangan Kaabah, beliau terlihat Rasulullah s.a.w sedang bersembahyang, ianya terus meluru ke hadapan dengan sangkaan beliau dapat memijak tengkok Rasulullah s.a.w semasa bersembahyang dan mengemparkan suasana, tapi tiba-tiba beliau berpatah balik dengan mengangkat kedua-dua tangannya seperti mempertahankan dirinya, bila ditanya! Kenapa wahai Abu Al-Hakim? Jawab Abu Jahal: Sebenarnya terhalang di antara daku dan Muhammad satu parit api, dan yang itu pula dengan sayap-sayapnya. Ulas Rasulullah s.a.w: Kalau dia hampiri daku nescaya para malaikat itu akan mengoyak-ngoyaknya sendi demi sendi. Ini adalah pencerobohan ke atas diri Rasulullah s.a.w yang keperibadian unggul itu, warak dan disegani orang ramai di samping kekebalan penjagaan Abu Talib tokoh yang hormati di Makkah.
Adapun kaum muslimin yang lain terutamanya golongan lemah dan daif, pencerobohan ke atas mereka memang mengganas, malah setiap qabilah telah membentuk barisan menyiksanya yang tersendiri bertujuan untuk mendera dan menyiksa anggota qabilahnya yang memeluk Islam dan orang yang tidak mempunyai qabilah, pihak musyrikin telah mengerah agar golongan awam dan pemukanya untuk membelasah mereka dengan berbagai penyiksaan-penyiksaan yang ngeri ceritanya lagi menggerunkan.
Sekiranya Abu Jahal mendapat tahu ada seorang bangsawan memeluk Islam beliau mencemuh dan mengkritiknya seterusnya mengugut untuk menjadikan beliau seorang yang muflis dan hilang dudukannya, tapi kalau yang memeluk itu lemah dan daif beliau akan memukul-mukul dan memperdayakannya.
Bapa saudara Uthman bin Affan pernah membungkus beliau ke dalam tikar daun kurma kemudian melayurkannya dengan asap dari bawah. Ketika Ibnu Mus'ab bin Umair mengetahui penganutannya dengan Islam, beliau ditahan dan dihalau keluar dari rumah sedang sebelum ini beliau adalah di antara orang yang mewah, namun setelah menganut Islam kerana penyiksaan kulit beliau menjadi kerutu dan bersisik seperti kulit.
Bilal bin Rabah adalah hamba Umaiyyah bin Khalaf Jumahi, Umaiyah bertindak di luar batasan kemanusiaan, menambat Bilal dengan tali ditengkoknya dan menyuruh budak-budak menariknya seperti menarik seekor binatang tali berikat dileher. Budak-budak ini menyeretnya mengelilingi merata kampung dan mengelilingi bukit-bukit Makkah, hingga berparut lehernya kesan dari jerutan tali. Umaiyah merentap tali di leher Bilal ke hadapan sekuat-kuat dan memukulnya dengan tongkat, memaksanya duduk di tengah panas matahari terik, menahan makanan dan yang dahsyat dari itu Umaiyah membawa Bilal di tengahari yang terik ke padang pasir Makkah dan membaringkannya di sana dengan meletakkan ketulan batu besar ke atas dadanya sambil berkata, aku akan angkat ketulan ini kecuali setelah kau mati atau kau kufur dengan agama Muhammad ini dan kembali menyembah Al-Lata dan Al-'Uzza. Dalam keadaan begini Bilal tetap mengucap: Ahad, Ahad (Yang Esa, Yang Esa) dengan kehendak Allah di masa itu Abu Bakr lalu di situ sambil Bilal dengan keadaannya yang terbaring. Abu Bakr pun membeli Bilal di mana satu riwayat mengatakan dengan nilai seorang budak hamba lain, dan diriwayat lain mengatakan dengan harga tujuh Auqouaj atau lima perak. Kemudian beliau membebaskan Bilal.
Ammar bin Yasir (r.a) adalah hamba kepada Bani Makhzum, beliau memeluk Islam bersama-sama bapa dan ibunya, kafir musyrikin membawa mereka semua ke tengah padang pasir semasa tengahari panas membakar, di sana mereka disiksa, di suatu ketika semasa mereka sedang menghadapi penyiksaan, Rasulullah s.a.w berlalu di situ dan Baginda berkata: Bersabarlah wahai keluarga Yasir janji kamu adalah syurga. Yasir mati kerana penyiksaan, ibunya Sumaiyah adalah Syahidah Pertama meninggal dunia, beliau telah dibunuh oleh Abu Jahal dengan menyula tombaknya melalui farajnya. Mereka menyiksa Ammar dengan berbagai cara yang ada pada mereka di ketika itu, sesekali menjemurnya di tengah panas matahari dan diketika yang lain dengan meletakkan batu-batu pejal ke atas dadanya. Sekali yang lain dengan mencampakkannya ke dalam air. Mereka berkata: Kami tidak akan melepaskan kamu kecuali setelah kau caci Muhammad atau kau puji sanjung Al-Lata dan Al-'Uzza, akhirnya beliau bersetuju untuk berbuat demikian dengan terpaksa tapi setelah itu beliau datang menemui Rasulullah s.a.w menangis dan meminta maaf di atas perbuatannya itu, untuk itu Allah menurunkan firmanNya:
"Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman"
An-Nahl :106
Abu Fakihah, nama sebenarnya Aflah seorang hamba Bani Abdu Ad-Dar, beliau telah disiksa oleh tuannya dengan memberkas kakinya dengan seutas tali kemudian menyeretnya ke atas tanah.
Manakala Khabab bin Al-Arat hamba Ummu Anmar binti Siba' Al-Khuza'iyah, pihak musyrikin menyiksanya dengan berbagai cara penyiksaan, sesekali mereka merentap rambut sekuat-kuatnya, memulas-mulas tengkoknya sehabis-habisnya, membaringkannya di atas batu-batu panas dan menghempas dengan batu-batu lain ke atasnya, hingga tidak terdaya untuk beliau bangun.
Nasib Zinnirah Ummu 'Ais An-Nahdiyah dan anaknya adalah hamba-hamba yang memeluk Islam, tidak kurang dari nasib orang lain. Kaum musyrikun menyiksa mereka dengan berbagai-bagai cara sepertimana yang diperbuat ke atas orang-orang lain. Seorang lagi ialah hamba perempuan Bani Mu'ammil dari Qabilah Bani 'Adi. Umar bin Al-Khattab semasa kufurya bertanggungjawab menyebatnya sampai jemu beliau memukulnya, dan berkata aku tak akan tinggalnya kecuali setelah berasa jemu. Kesemua hamba-hamba ini telah dibeli dan dibebaskan mereka oleh Abu Bakr sebagaimana beliau memerdekakan Bilal dan Amir bin Fahirah. Sesetengah sahabat yang lain yang baru memeluk Islam di siksa oleh musyrikin dengan membalutkan mereka ke dalam belulang lembu dan unta untuk dijemur dipanas matahari terik, yang lain disarungkan ke dalam baju besi dijemur di atas batu-batu yang membakar di padang pasir.
Senarai mereka yang disiksa kerana mentauhidkan Allah panjang dan menyayat hati, tak seorang pun bila diketahui kelslamannya akan terlepas dari siksaan musyrikin.
PEMBOIKOTAN RAMAI
Dalam tempoh empat minggu terjadi empat peristiwa besar mengenai kaum musyrikin. Pertama, Hamzah memeluk Islam, kedua Umar memeluk Islam, ketiga penolakan Rasulullah s.a.w terhadap tawaran yang diajukan kepadanya, keempat persetujuan Banu Al-Muttalib dam Banu Hasyim, muslim dan kafimya secara bersama untuk memberi perlindungan dan pertahanan terhadap Muhammad, peristiwa-peristiwa ini menjadikan kaum musyrikin kebingungan dan memang sewajarnya mereka kebingungan. Mereka tahu bahawajika sekiranya mereka bertindak membunuh Muhammad akibatnya buruk di mana lembah Makkah akan mengalir dengan darah-darah mereka sendiri, malah mungkin akan membawa kepada kemusnahan mereka ke akar umbi, mereka pasti kesemuanya ini, untuk itu mereka bertindak menindas dan bukan membunuh, namun ianya lebih berat dan perit dari masa-masa yang lalu.
PIAGAM PENYIKSAAN DAN KEZALIMAN
Musyrikin Quraisy dan penyokong-penyokongnya berkumpul dan bermesyuarat di halaman Banu Kinanah di Lembah Al-Makhsab, mereka bersumpah setia untuk memusuhi Banu Hasyim dan Banu Al-Muttalib, untuk tidak berkahwin, bermesyuarat, berkomunikasi, berziarah dan mencampuri mereka, kecuali setelah mereka menyerah Muhammad untuk dibunuh. Supaya piagam yang mereka sepakati itu direalisasikan maka mereka buktikannya sekeping watikah yang membawa maksud:
"Supaya mereka tidak menerima dari Banu Hasyim sebarang perdamaian selama-lamanya dan tidak akan berkasihan belas dengan mereka kecuali apabila mereka menyerah Muhammad untuk dibunuh"
Mengenai perkara ini Ibnu Al-Qayyim menyebut: Piagam ini telah ditulis oleh Mansur bin Ikramah bin Amir bin Hasyim, tapi ada pendapat mengatakan tulisan itu dibuat oleh Nadhr bin Al-Harith, namun pendapat yang sahih ialah Baghidh bin Amir bin Hasyim di mana Rasulullah s.a.w berdoa dan bersumpah ke atasnya dengan takdir Allah tangannya yang menul is piagam itu lumpuh.
Piagam selesai ditulis, kemudian dibawa ke dalam Kaabah dan digantung di dalamnya. Dengan itu Banu Hasyim dan Banu Al-Muttalib muslim dan kafirnya kecuali Abu Lahab sahaja, kesemua mereka terkurung di lorong Abi Talib mulai malam awal Muharam tahun ke tujuh kebangkitan Rasulullah s.a.w.
TIGA TAHUN DI LORONG ABU TALIB
Pengepungan semakin ketat, makanan dan bekalan semuanya terputus, mana-mana makanan yang masuk ke Makkah pihak musyrikin Quraisy tidak memberi lalu langsung untuk sampai ke tangan kaum muslimm. Mereka membeli kesemuanya, kaum muslimin mengalami kemuncak kesengsaraan, hingga terpaksa memakan daun-daun dan belulang-belulang kering, hingga boleh didengar keluhan, nada tangisan, jeritan wanita-wanita dan anak-anak yang kelaparan, kalau pun sampai itu pun secara rahsia mereka tidak keluar dari lorong itu untuk membeli keperluan kecuali di bulan Haram sahaja. Itu pun mereka membeli makanan yang datang dari luar Makkah dan pihak musyrikin terus menindas lagi, dengan menaikkan harga barang-barang keperluan berlipat ganda supaya kaum muslimin tidak terdaya membelinya.
Di suatu ketika Hakim bin Hizam membawa gandum untuk emak saudaranya iaitu Khadijah (r.a), diantaranya telah dihalang oleh Abu Jahal, beliau melarang dan mencegah hingga terpaksa pula Abu Al-Bukhturi masuk campurtangan dan membiarkan Hakim menyampaikan juga gandum berkenaan kepada Khadijah emak saudaranya itu.
Abu Talib amat prihatin tehadap Rasulullah s.a.w, hinggakan apabila orang semua hendak tidur beliau menyuruh Rasulullah s.a.w tidur di tempatnya, supaya dapat pula beliau melihat sesiapa sahaja yang cuba membunuh Rasulullah s.a.w, dan apabila semua orang nyenyak tidur, sekali lagi Abu Talib menyuruh salah seorang anaknya atau saudaranya atau anak saudaranya tidur di tempat Rasulullah s.a.w di samping menyuruh membawa kelengkapan tidur mereka.
Rasulullah s.a.w bersama kaum muslimin akan keluar dari situ di musim haji, untuk menyeru orang ramai kepada Islam. Gelagat dan tindakan nakal Abu Lahab telahpun kita perkatakan sebelum ini.
PELANGGARAN PIAGAM
Tiga tahun berlalu keadaan tetap seperti itu juga, walau macam manapun pada bulan Muharam tahun kesepuluh kebangkitan Rasulullah s.a.w berlaku pelanggaran dan pencerobohan ke atas piagam perjanjian musyrikin kerana di kalangan Quraisy sendiri ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju dengan piagam itu malah membangkangnya, lantaran itulah di antara mereka ada yang berusaha mencerobohi dan melanggar piagam berkenaan.
Orang pertama yang berusaha ke arah itu ialah Hisyam bin Amru dari qabilah Banu Amir bin Luai, beliau sering berhubung secara rahsia di malam hari dengan Banu Hasyim dengan membawa makanan, beliau selalunya menemui Zuhair bin Abi Umaiyah Al-Makhzumi, sedang ibunya adalah Atikah binti Abdul Al-Muttalib, suatu hari beliau telah bercakap dengan Zuhair bin Abi Umaiyah katanya: Wahai Zuhair! Kamu boleh rela had untuk memakan dan meminum sedang bapa-bapa saudara kamu, seperti kau tahulah. Jawab Zuhair: Baiklah, apa aku boleh buat, aku seorang sahaja, demi Allah kalau ada orang lain bersama ku, dah lama ku langgar piagam itu. Kata Hisham: Aku ada orang kedua. Tanya Zuhair: Siapa orangnnya? Jawab Hisham: Aku! kata Zuhair: Kita perlu orang ketiga.
Dengan itu beliau terus pergi menemui Al-Mut'am bin 'Adi, beliau menyebut kepada Al-Mut'am mengenai anak cucu Banu Hasyim dan Banu Al-Muttalib. Kedua-duanya adalah keturunan Abdul Manaf, dan beliau mengecamnya di atas persetujuannya dengan Quraisy dan dengan piagam yang zalim lagi menindas itu.
Kata Al-Mut'am: Baiklah, apa aku nak buat, kan aku ini seorang diri sahaja. Kata Hasyim: Aku dah ketemu dengan orang kedua. Kata Mut'am: Siapa? Jawab Hasyim: Aku sendiri. Kata Al-Mut'am: Kita perlu orang ketiga. Kata Hasyim: Pun sudah aku ketemuinya. Kata Al-Mut'am; Siapa orangnya? Jawab Hasyim: Zuhair bin Abi Umaiyah. Kata Al-Mut'am: Kita perlukan orang keempat.
Kali ini Hasyim pergi bertemu Abi Al-Bukhturi bin Hisyam, beliau menyuarakan pendapatnya seperti dikemukakan kepada Al-Mufam, kata Al-Mut'am: Ada tak orang lain yang boleh membantu usaha kita ini, jawab Hasyim, Tanya Al-Bukhturi; Siapa-siapa, mereka itu, jawab Hisyam: Zuhair bin Abi Umaiyah, Al-Mutam bin Adi dan aku tetap bersama kau, kata Al-Bukhturi aku orang kelima.
Hisyam berkejar ke rumah Zama'ah bin Al-Aswad bin Al-Muttalib bin Asad, beliau mengemukakkan cadangannya itu kepada Zum'ah: Ada tak orang lain yang menyetujui perkara ini? kata Hisyam: memanglah ada orangnya, kemudian beliau membilang dengan menyebut nama-nama mereka, kemudian mereka semua bermesyuarat di Al-Hujun, di mana mereka berjanji untuk memecah dan melanggar piagam yang zalim itu, kata Zuhair: Biar aku orang yang pertama menyuarakan perkara ini.
Sebaik sahaja subuh menjelang mereka pun segera ke kelab pertemuan, Zuhair dengan pakaian istimewanya, bertawaf mengelilingi Kaabah tujuh kali kemudian beliau terus berhadapan orang ramai di situ dan melaung dengan katanya: Wahai penduduk Makkah, apakah kita memakan makanan dan memakai pakaian, sedang Banu Hasyim susah kelaparan, tidak dibenar berjual beli dengan mereka? Demi Allah aku tidak akan berdiam diri aku pecah dan langgar piagam yang zalim itu.
Kata Abu Jahal yang sedang berada di penjuru masjid. Itu adalah dusta dari mu, demi Allah kau tidak akan melanggar piagam yang kita persetujui itu. Kata Zam'ah: Kerana kami tidak setuju piagam yang amat berdusta, kerana kami tidak setuju piagam itu dituliskan cuma kamu yang beria-ia sangat seperti yang tertulis itu, kata Abu Al-Bukhturi: Memang kau benar wahai Zam'ah, sesungguhnya kami tidak rela dengan penulisannya itu dan kami tidak mengakuinya.
Kata Al-Mufam bin 'Adi pula: Kaniu berdua memang benar yang lain-lain itu dusta belaka, kami adalah bebas dihadapan Allah dengan segala apa yang tertulis. Hisyam pun berkata pula, sama seperti yang dibicarakan oleh kawannya yang lain. Kata Abu Jahal: perkara ini sudah diatur dalam satu malam, di mana kamu bermesyuarat bukan di tempat ini.
Ketika perdebatan sedang berlaku, Abu Talib berada di suatu penjuru masjid, beliau datang ke sini kerana Allah telah memberi tahu kepada RasulNya mengenai piagam yang mereka tulisnya itu, di mana Allah telah memusnahkannya dengan menghantar anai-anai memakannya, segala yang tertulis habis digeritnya, mana-mana sebutan zalim, penganiayaan dan penindasan dimakannya, kecuali sebutan nama Allah sahaja yang ditinggalkannya, hal ini diceritakan kepada bapa saudaranya, untuk itu Abu Talib keluar menemui Quraisy, dan terus beliau menceritakan kepada mereka seperti apa yang telah dikisahkan oleh anak saudaranya Muhammad s.a.w, sekiranya beliau berdusta aku beri laluan untuk kamu bertindak terhadapnya, tapi kalau beliau benar hendaklah kamu tarik balik tindakan kamu itu. Kata mereka: Ya! itulah yang adil dan wajar.
Setelah berlaku perbicaraan hangat di antara orang ramai dan Abu Jahal, akhirnya Al-Mut'am bangun dan pergi mengambil lambaran piagam untuk dimusnahkannya, tiba-tiba didapati anai-anai telah pun menggeritnya kecuali lafaz Bismika Allahhumma dan mana-mana lafaz yang tersebut nama Allah sahaja yang tidak dimakannya.
Dengan itu selesai pemecahan dan pelanggaran ke atas piagam, dengannya Rasulullah s.a.w dan orang-orang yang bersama-samanya keluar dari lorong penempatan mereka, dengan itu juga pihak musyrikin dapat menyaksi sebahagian tanda keagungan kenabian, walaupun demikian mereka tetap sebagaimana yang dikisahkan Allah mengenainya:
Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata "(Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku".
Al-Qamar :2
Malah mereka terus berpaling tadah dari tanda-tanda dan ayat-ayat Allah ini dan mereka semakin kufur.
PERWAKILAN QURAISY MENEMUI ABU TALIB UNTUK KALI TERAKHIR
Rasulullah s.a.w telahpun keluar dari lorong Abu Talib namun baginda tetap menjalankan tugasnya seperti biasa, dan Quraisy pula walaupun telah meninggal pemboikotan namun mereka masih juga dengan sikap penindasan ke atas orang-orang Islam dan menghalang kerja-kerja dakwah kejalan Allah, sedemikian dengan Abu Talib dengan sikapnya yang amat prihatin dan penjagaan rapi terhadap diri Rasulullah s.a.w, usia Abu Talib kini sudah pun melewati lapan puluh tahun, kesengsaraan dan peristiwa-peristiwa besar yang silih berganti itu, terutamanya pemulauan ekonomi telah menyebabkan sendi-sendi tulangnya semakin lemah, tulang belakangnya bagai terpatah, tidak selang berapa bulan selepas mereka keluar dari pengurungan tiba-tiba beliau telah diserang penyakit yang berat dan menekan, pihak musyrikin pun curiga akan terjejas nama baik mereka di kalangan bangsa Arab, sekiranya suatu yang buruk tidak diingini akan terjadi ke atas anak saudaranya itu, selepas kematiannya nanti, untuk itu mereka mencuba sekali lagi untuk berbincang dengan Muhammad dengan kehadirannya sekali, dan mereka akan bertolak ansur dengan syarat yang mereka berkeras dengannya dimasa-masa yang lalu, dengan itu Quraisy telah mengutus perwakilannya menemui Abu Talib Ibnu Ishak dan yang lain-lain meriwayatkan dengan katanya: Setelah Abu Talib mengadu hal kesakitannya, dan beritanya ini telah sampai kepengetahuan Quraisy, maka mereka bermesyuarat sesama mereka.
Kini Hamzah dan Umar sudah pun menganut Islam, cerita mengenai Muhammad dan usahanya semakin berkembang di kalangan kabilah-kabilah Quraisy, kata mereka: Ayuh kita menemui Abu Talib, kita pinta supaya beliau menekan anak saudaranya itu untuk menerima syarat-syarat kita, demi Allah kita curiga mereka (kaum muslimin) akan meriguasai kita. Riwayat dalam lafaz lain berbunyi: Sebenarnya kita takut, nanti orang tua itu akan mati dan Muhammad pula dapat menguasai suasana, habislah kewibawaan kita, hingga seluruh bangsa Arab memperlecehkan kita, dan mereka akan mengatakan: Dulu mereka membiarkannya hingga apabila bapa saudaranya mati baru mereka kerjakannya. Dengan itu mereka pergi menemui Abu Talib dan berbincang dengannya, mereka semua adalah pemuka-pemuka kaum yang terdiri dari: Utbah bin Rabi'ah, Syaibah bin Rabi'ah, Abu Jahal bin Hisyam, Umaiyah bin Khalaf dan Abu Sufian bin Harb adalah tokoh yang mengepalai rombongan seramai dua puluh lima orang ini, kata mereka: Wahai Abu Talib kau sebenarnya adalah sebahagian dari kami, sebagaimana yang diketahui, kita semua sudah pun lanjut usia, kami pun takut juga hal yang akan menemui kau itu, sebagaimana yang kau tahu hal yang terjadi di antara kami dan anak saudaramu itu, cuba kau pinta kepadanya, dan beliau boleh membuat syarat kepada kami dan beliau pula hams menerima sesuatu dari kami, supaya beliau berhenti mengecam kami dan kami pun boleh berhenti menentangnya, dan hendaklah beliau membiarkan kami dengan agama kami, dan disebaliknya kami akan membiarkan beliau dengan agamanya. Lalu Abu Talib menjemput Rasulullah s.a.w, dan Rasulullah s.a.w pun segera tiba, terus beliau berkata: Wahai anak saudaraku ini semua adalah pembesar-pembesar kaum kau, mereka berkumpul kemari, semata-mata untuk kau untuk menawarkan kau sesuatu dan untuk menerima sesuatu darimu.
Kemudian Abu Talib menyampaikan hal yang dikemukakan oleh mereka tadi, iaitu untuk sama-sama tidak mengganggu pihak yang lain. Jawab Rasulullah s.a.w: Apa pendapat kamu sekiranya aku kemukakan kepada kamu satu perkataan yang apabila kamu ucapkannya kamu akan menguasai seluruh bangsa Arab, dan bangsa-bangsa lain akan tunduk kepada kamu. Dalam perkataan yang lain pula bahawa, Baginda berbicara kepada Abu Talib dengan katanya: Daku mahu, semua mereka berada dalam kalimah yang satu, yang apabila mereka ucapkan kalimah itu seluruh bangsa Arab akan tunduk kepada mereka dan bangsa asing akan membayar ufti kepada mereka. Dan dalam lafaz yang lain pula, kata Baginda: Wahai bapa saudaraku, boleh tak ayahnda serukan mereka kepada suatu yang lebih baik untuk mereka, kata Abu Talib: Sebutlah apa yang hendak kau serukan mereka itu? Jawab Baginda: Aku mengajak mereka untuk melafazkan satu kalimah yang apabila mereka lakukan seluruh bangsa Arab akan tunduk akur kepada mereka, malah mereka akan menguasai seluruh bangsa-bangsa asing.
Manakala lafaz dari riwayat Ibnu Ishak berbunyi: Hanya satu kalimah sahaja, kamu ucapkannya nescaya kamu akan menguasai bangsa Arab, dan bangsa asing pula akan tunduk kepada kamu. Setelah mana Rasulullah s.a.w menyebut kata-katanya ini mereka semua berhenti dan kebingungan, dan bagaimana hendak menolak tawaran hanya satu kalimah yang amat berfaedah sekali bagi mereka, lantas Abu Jahal pun berkata: Apa dia perkataan itu? demi bapa engkau, mudah sangat, kami boleh ucapkannya dan sepuluh yang lain pun tidak mengapa, jawab Rasulullah s.a.w: Ucaplah "Lailahaillallah " di samping kamu menolak seluruh penyembahan-penyembahan yang lain. Dengan itu mereka semua menepuk-nepuk tangan mereka dan berkata: Wahai Muhammad, kamu hendak kami jadikan tuhan-tuhan yang banyak itu satu tuhan sahaja? Ini tidak boleh jadi, ini perkara yang menghairankan.
Selepas itu mereka berkata sesama mereka: Demi Allah sesungguhnya orang ini (iaitu Muhammad), tidak akan memberi suatu pun kepada kamu, ayuh beredar dari sini, dan teruskan dengan agama nenek moyang kita dahulu, hingga Allah sahaja yang menghukumkan di antara kita dan dia. Dengan itu mereka semua bersurai.
Mengenai mereka ini Allah menurunkan wahyunya:
Saad ( ); demi Al-Quran yang mempunyai kemuliaan serta mengandungi peringatan dan pengajaran. (Orang-orang yang mengingkari kerasulanmu - wahai Muhammad - tidak berdasarkan kebenaran) bahkan mereka yang kafir itu bersifat sombong angkuh dan suka menentang kebenaran. (Tidakkah mereka menyedari) berapa banyak umat-umat (yang ingkar) yang terdahulu dari mereka, Kami binasakan? Lalu mereka meminta pertolongan, padahal saat itu bukanlah saat meminta pertolongan melepaskan diri dari azab. Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, dari kalangan mereka sendiri. Dan mereka yang kafir itu berkata: "Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta. " Patutkah ia menafikan tuhan-tuhan yang berbilang itu dengan mengatakan: Tuhan hanya Satu? Sesungguhnya ini adalah satu perkara yang menakjubkan!" Dan (ketika itu) keluarlah ketua-ketua dari kalangan mereka (memberi peransang dengan berkata): "Jalan terus (menurut cara penyembahan datuk nenek kamu) dan tetap tekunlah menyembah tuhan-tuhan kamu. Sebenarnya sikap ini adalah satu perkara yang amat dikehendaki. " Kami tidak pernah mendengar tentang (soal mengesakan Tuhan) itu dalam ugama yang terakhir; perkara ini tidak lain hanyalah rekaan dan dusta semata-mata".
Shaad :1-7
TAHUN PERKABUNGAN
KEMATIAN ABU TALIB
Kegeringan Abu Talib semakin menekan, tidak berapa lama beliau pun meninggal dunia, kematian beliau adalah dibulan Rejab' tahun kesepuluh kebangkitan Rasulullah s.a.w, iaitu enam bulan selepas keluar dari pengepungan di lorong Abi Talib, ada pendapat yang menyebut beliau meninggal di bulan Ramadhan tiga hari sebelum kewafatan Khadijah (r.a).
Di dalam sahih Bukhari hadis yang diriwayatkan dari Al-Musayyab: Bahawa Abu Talib ketika hampir kewafatannya beliau telah dihadiri oleh Rasulullah s.a.w di sampingnya juga Abu Jahal, di sini Baginda menyeru Abu Talib: Wahai ayahanda sebutlah "lailahaillallah" satu kalimah yang boleh ku berhujah dengannya di hadapan Allah esok. Kata Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umaiyah: Wahai Abu Talib: Mahu kau tinggal agama bapa kau Abdul Muttalib? Beginilah keadaan mereka berdua, tarik menarik Abu Talib ke pihaknya, akhirnya Abu Talib menyebut: Aku di dalam agama Abdul Muttalib bersama dengan hembusan nafas terakhir, di ketika itu Rasulullah s.a.w berkata: Sesungguhnya akan ku beristighfar untuk kau selagi mana aku tidak ditegah berbuat sesuatu untuk kau. Di masa itu turunlah wahyu Allah: yang bermaksud:
Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang yang beriman, meminta ampun bagi orang yang musyrik, sekali pun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang musyrik itu adalah ahli neraka.
At-Taubah :113
Dan turun juga ayat:
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam)
Al-Qashas :56
Tidak perlu untuk menjelaskan lagi bagaimana Abu Talib ini merupakan penjaga dan benteng kepada Rasulullah s.a.w, hingga dakwah Islamiah boleh bertahan di sebaliknya, dari serangan kaum sufaha dan elit, tetapi beliau tetap dengan agama datuk moyangnya, sesungguhnya beliau gagal di sisi Allah. Di dalam sahih Al-Bukhary satu riwayat dari Al-'Abbas bin Abdul Al-Muttalib yang berkata kepada Rasulullah s.a.w: Kau tidak boleh memanfaatkan bapa saudara mu itu, beliau mempertahankan dan membela kau, kata Rasulullah s.a.w: Beliau di hujung api neraka, kalau tidak kerana aku, sudah pasti di lapisan terbawah api neraka.
Dari Abi Said Al-Khudri, meriwayatkan, bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w menyebut tentang bapa saudaranya, dengan sabdanya yang bermaksud:
"Semoga syafaat ku boleh memanafaatkan beliau di hari Qiamat nanti, beliau diletakkan di hujung api neraka sampai membakar dua tumitnya."
KHADIJAH R.A KEMBALI KE RAHMATULLAH
Lebih kurang dua atau tiga bulan selepas kematian Abu Talib, Khadijah pula kembali ke rahmatullah, kewafatan beliau ialah di dalam bulan Ramadhan tahun kesepuluh kebangkitan Rasulullah s.a.w, dalam lingkungan usia lima puluh enam tahun manakala Rasulullah s.a.w berusia lima puluh tahun.
Sesungguhnya Khadijah adalah ni'mat dan anugerah yang teragung kepada Rasulullah s.a.w, beliau bersama-sama Rasulullah s.a.w untuk selama suku abad mencucuri Baginda dengan belai kasih sayang terhadap Baginda, di saat-saat genting dan meruncing, menyokong Baginda di waktu-waktu kegawatan yang diperlukan kepada sokongan dan bantuan, malah beliau menolong Baginda menyebar ajaran dan risalahnya, bersama-sama Rasulullah s.a.w ke medan jihad suci, berkongsi kemewahan dan kesusahan dengan harta dan keringatnya pernah Rasulullah s.a.w menyebut-nyebut kelebihan Khadijah dengan sabdanya yang bermaksud:
"Beliau beriman denganku ketika manusia kufur dengan ku, membenarkan daku ketika manusia mendustai daku, berkongsikan daku harta-hartanya ketika manusia lain enggan memberi daku, dan Allah mengurniakan darinya anak-anak dan tidak mengurniakan anak dari yang lain."
Al-Bukhary di dalam sahihnya meriwayatkan hadith dari Abi Hurairah dengan katanya: Jibril (a.s.), telah mendatangi Nabi Muhammad s.a.w dan berkata; Wahai Rasulullah s.a.w itu dia Khadijah (r.a.) telah datang bersama-samanya satu bekas, di dalamnya hidangan atau makanan atau minuman, bila beliau tiba ke hadapanmu, sampaikan kepadanya salam dari Tuhannya dan beritahu kepadanya berita gembira di mana tersedia untuk beliau sebuah rumah di dalam syurga, diperbuat dari permata baiduri tiada bising dan gangguan di dalamnya.
DUKACITA YANG SILIH BERGANTI
Dua peristiwa sedih yang menekan, berturut mengoncang perasaan Baginda dan menyayat hati naluri Rasulullah s.a.w, dari situ musibah kaumnya bertubi-tubi menimpa Rasulullah s.a.w, mereka lebih berani lagi dari masa yang lampau, terang-terangan mengancam Baginda dengan kenakalan dan penyiksaan. Selepas kematian Abu Talib, Baginda semakin bertambah duka nestapa, hingga terasa berputus asa dengan mereka, lalu Baginda keluar ke Taif dengan harapan di sana penduduknya akan menyahut seruannya dan membantu menghadapi kaum Quraisy, malang di sana tiada siapa yang mahu menyokong dan membantu, malah yang didapati penentangan yang lebih pahit lagi, Baginda mengalami lebih teruk lagi, dari apa yang diharap dari kaumnya.
Sebagaimana tekanan semakin hebat ke atas Rasulullah s.a.w semakin hebat juga penyiksaan ke atas sahabatnya, hinggakan sahabatnya yang tersayang, Abu Bakr As-Siddiq mengambil langkah untuk berhijrah keluar dari Makkah, beliau keluar hingga sampai ke Birk al-Ghamad untuk pergi ke Habsyah, namun beliau telah di bawa pulang oleh Ibnu Ad-Dughnah dan meletak di bawah suakanya. Ibnu Ishak meriwayatkan: Setelah Abu Talib-meninggal dunia, pihak Quraisy mengancam Rasulullah s.a.w dengan berbagai penyiksaan yang belum pernah dialami semasa hayat Abu Talib, malah golongan bodoh pun berani juga, pernah di suatu hari seorang lelaki bodoh berani menabur pasir ke atas kepala Rasulullah s.a.w, Baginda memasuki rumahnya dengan tanah dan pasir bertaburan di kepala Baginda, salah seorang puterinya membasuh kepalanya sambil menangis, namun Rasulullah s.a.w masih menenangkannya: Tak usah kau tangis wahai anakku, sesungguhnya Allah melindungi ayahmu ini. Quraisy tidak melakukan seberat ini, yang paling ku benci, melainkan selepas kematian Abu Talib.
Oleh kerana bertubi-tubi penyiksaan di tahun ini maka Baginda menamakan tahun berkenaan dengan tahun perkabungan dan dukacita, dan penamaan ini memang terkenal di dalam sejarah Islam.
PERKAHWINAN BAGINDA DENGAN SAWDAH R.A
Dalam bulan Syawal di tahun kesepuluh kebangkitan Baginda, Rasulullah s.a.w telah berkahwin dengan Sawdah binti Zam'ah, beliau adalah wanita muslimah yang memeluk Islam terulung. Beliau adalah penghijrah peringkat kedua ke Al-Habsyah, suaminya ialah As-Sakran bin Amru telah memeluk Islam dan berhijrah bersama isterinya Sawdah, tetapi beliau wafat di bumi Habsyah atau selepas pulang ke Makkah, setelah selesai idahnya Rasulullah s.a.w meminangnya dan berkahwin dengannya. Beliau adalah isteri pertama yang dikahwini Rasulullah s.a.w selepas peninggalan Khadijah. Selepas beberapa tahun, beliau menghadiahkan gilirannya kepada Aisyah(r.a).
SECEBIS ULASAN MENGENAI PERKAHWINAN RASULULLAH S.A.W DENGAN AISYAH R.A
Di bulan Syawal tahun kesembilan kebangkitan Rasulullah s.a.w, Baginda telah berkahwin dengan A'isyah As-Siddiqah puteri Abu Bakr As-Siddiq (r.a.), usianya masih enam tahun, di mana Rasulullah s.a.w berseketiduran dengannya semasa Baginda berhijrah ke Madinah, iaitu di bulan Syawal tahun pertama hijrah, ketika itu usianya sudah meningkat sembilan tahun.
FAKTOR-FAKTOR KESABARAN DAN KECEKALAN
Manusia yang tabah pun menyaksi penuh keberanian, malah golongan berfikiran pun bertanya sesama mereka: Apakah sebab dan faktor yang membawa kaum muslimin boleh sampai ke peringkat ini dan melewati batas-batas kecekalan yang luar biasa ini? Bagaimana mereka boleh bertahan dan bersabar menghadapi ancaman dan penyiksaan yang menggerunkan, penyiksaan yang boleh menggoncang hati-hati yang berani? Memandangkan persoalan yang muncul di hati-hati naluri manusia, maka kita dapati adalah wajar untuk kita memaparkan sebahagian dari faktor-faktor ini sebagai petanda sepintas lalu, secara ringkas:
1. Keimanan dan keyakinan dengan Allah (s.w.t)
Faktor utama di sini ialah keimanan dan keyakinan dengan Allah (s.w.t), mengenal Allah dengan ertikata yang sebenar, kerana keimanan yang sejati apabila menguasai hati-hati rijal ianya menjadi seberat gunung yang tidak mungkin dicabar, manusia yang memiliki iman yang mantap dan keyakinan yang azam melihat kepahitan dunia, biar seberat mana dan seteruk mana, bagaikan kiambang yang terapung di permukaan arus air laju menghentak-hentak empangan dan bendungan, namun ianya tidak mungkin memecah atau menjejaskannya, demikian orang yang memiliki keimanannya yang mantap ini, langsung tidak menghirau dan mempedulikan dengan ancaman dan tribulasi yang memenatkan, malah beliau akan merasai satu kemanisan iman dan keenakan keyakinannya berhadapan dengan semua fitnah ini. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. (Ar-Ra'd: 17) Dari faktor ini tercawang beberapa faktor lain yang berpadu, memberi kekuatan kepada kecekalan dan kesabaran.
2. Pimpinan yang menarik hati-hati kepadanya
Rasulullah s.a.w merupakan pemimpin yang tertinggi bagi ummah Islamiah, bahkan bagi manusia sejagat, di mana Baginda terhias dengan keluhuran akhlak, jiwa yang sempurna, budipekerti yang tinggi, perangai yang mulia dan susila terpuji, kesemuanya ini membawa hati-hati manusia tertarik dengannya, sanggup dan rela berkorban apa sahaja untuk mempertahankannya, kesempurnaan Baginda melimpah ruah, yang sememangnya diidam-idamkan oleh manusia, tidak pernah ada pada mana-mana manusia, dipersada ini. Baginda merupakan mercu kemuliaan, kebaikan dan kelebihan, contoh kepada kebersihan jiwa, amanah dan kebenaran, Baginda adalah sumber danjalan kebaikan yang diakui oleh lawan lebih-lebih lagi taulan, tidak ada kalimah yang diungkapkan melainkan kesemuanya dipercayai dan diyakini kebenarannya. Tiga orang tokoh Quraisy telah berbicara sesama mereka, setiap mereka telah pun mendengar Al-Quran secara rahsia tanpa diketahui oleh kawannya yang lain, namun diakhirnya rahsia mereka ini terpecah juga, salah seorang mereka telah menyoal Abu Jahal katanya: Apa pendapat tuan mengenai yang tuan dengar dari Muhammad itu? Tanya Abu Jahal: Apa yang engkau dengar? Jawabnya: Kami dan Banu Abdul Manaf telah berlumba-lumba untuk memperolehi kemuliaan, kiranya mereka memberi orang makanan kami pun berbuat demikian, mereka membawa orang ramai, kami pun membawa orang ramai, mereka memberi sesuatu kami pun boleh memberi, sehingga apabila kami hampir seri, perlawanan pejutan kami seolah-olah dua ekor kuda berlumba, hinggalah mereka berkata: Kami ada nabi yang menerima wahyu dari langit. Dan bilakah kita akan mendapatinya? Jawab Abu Jahal: Demi Allah aku tidak akan beriman dengannya? Jawab Abu Jahal: Demi Allah aku tidak akan beriman dengannya atau mempercayainya sama sekali.
Abu Jahal pernah berkata: "Wahai Muhammad, sebenarnya kami tidak mendustaimu, tetapi mendustai apa yang kamu bawa itu." Maka dengan itu Allah menurunkan wahyu:
Sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata)
Al-An'aam: 33
Di suatu, hari kafir Quraisy menyindir Rasulullah s.a.w tiga kali, dengan jelingan mata, pada kali ketiga Rasulullah s.a.w berkata: Wahai kalian Quraisy aku telah membawakan kamu dengan sembelihan, mereka tersentak dengan kata-kata Baginda itu, hinggakan orang paling memusuhi Rasulullah s.a.w pun membuat koreksi diri mereka dengan sesuatu yang terbaik padanya.
Semasa kafir-kafir Makkah mencampak uncang najis ke atas Rasulullah s.a.w ketika Baginda sedang sujud, Baginda mendoakan bala ke atas mereka, menyebabkan ketawa mereka terhenti dengan tiba-tiba, dan kesangsian serta dukacita menyelubungi mereka semua, dan mereka yakin bahawa mereka pasti binasa.
Baginda pernah mendoa bala ke atas Utbah bin Abu Lahab. Sepanjang hayatnya dia (Utbah) meyakini di suatu masa pasti doa itu terlaksana, hingga bila dia melihat singa terus beliau berkata: "Demi Allah Muhammad membunuh daku sedang beliau berada di Makkah."
Ubai bin Khalaf pula mengugut untuk membunuh Rasulullah s.a.w, tetapi jawab Rasulullah s.a.w: Malahan aku yang membunuh kau! InsyaAllah. Setelah Ubai ditikam di peperangan Badar, luka hanya sekadar terguris sedikit dikulit, namun Ubai melaung dengan katanya: Dia telah bersumpah di Makkah dahulu hendak membunuh daku dengan katanya: Aku yang akan membunuh kau, demi Allah kalau dia ludah ke mulutku nescaya binasa juga daku. (Huraiannya akan menyusul)
Semasa di Makkah Sa'd bin Mu'az telah menyebut kepada Umaiyah bin Khalaf: Sebenarnya aku telah dengar Rasulullah s.a.w berkata: Mereka yakin kaum Muslimin akan membunuh kamu, menyebabkan beliau terperanjat besar dan berjanji untuk tidak keluar dari Makkah, sebab itu bila digesa oleh Abu Jahal supaya beliau keluar berperang di Badar, beliau telah memperuntukkan belanja agak besar demi untuk membeli seekor unta pacuan yang terbaik, untuk membolehkan beliau berkejar lari ke Makkah. Isterinya telah memperingatkan beliau dengan katanya: Wahai Abu Sofwan, apakah kau telah lupa apa yang telah disebutkan di suatu ketika dahulu oleh saudaramu Al-Yathribi itu? Jawab beliau: Demi Allah, tidak sekali-kali, aku ke sana pun, bukan untuk masuk ke tengah-tengah medan hanya dipinggirnya sahaja.
Inilah perasaan dan sikap musuh-musuh Rasulullah s.a.w terhadap Baginda, manakala sikap para sahabatnya dan mereka bersama Baginda menjadikan Baginda sebagai roh dan jiwa mereka, Baginda adalah hati dan mata kepada mereka, kecintaan sejati membawa mereka tertarik kepada Baginda bagaikan air yang mengalir, jiwa-jiwa mereka tertarik kepada Rasulullah s.a.w bagaikan besi tertarik kepada tarikan magnet, bak kata penyair:
Gambaran dirinya memenuhi pada setiap jasad Jiwanya menarik setiap hati lelaki.
Natijah kecintaan mereka dan berfana, kerananya, mereka sanggup diri mereka dibinasakan asalkan Baginda selamat, tidak terguris walau dengan sekerat duri.
Di suatu hari Abu Bakr telah dilanyak oleh kafir Quraisy di kawasan Makkah, dipukul separah-parahnya, Utbah bin Rabi'ah turut sama menerajang dengan tapak kasutnya yang berladam, menyentAn-Nyental di seluruh mukanya, dan melanyak perutnya hingga tak kelihatan mana hidungnya mana mukanya. Kemudian diusung di dalam pakaiannya oleh Banu Tamim ke rumahnya.
ketika sampai ke dalam rumah tak seorang pun menyangka yang beliau hidup lagi, disenja hari baru beliau mula bercakap, dan lafaz yang mula-mula beliau tutur, katanya: Apa yang Rasulullah s.a.w buat, mereka yang melingkungi beliau pun marah dan mencelanya, kemudian mereka pun bangun dan berpesan kepada ibunya Ummu Khair: Tengoklah dia ini? dan suaplah apa saja, atau berilah minuman kepadanya, setelah ibunya bersendirian dengannya, beliau menggesa supaya Abu Bakr memakan dan meminum, tapi beliau masih lagi bertanya: Apa yang telah Rasulullah s.a.w lakukan? Jawab ibunya: Demi Allah aku pun tidak ada maklumat mengenainya. Kata Abu Bakr pula: Cuba ibu pergi bertemu Ummu Jamil binti Al-Khatab tanyakan dia mengenai Baginda itu?
Lantas ibunya pun keluar hingga bertemu Ummu Jamil dan berkata: Abu Bakr di rumah sana bertanya khabar mengenai Muhammad bin Abdullah. Jawab Ummu Jamil: Aku tidak tahulah mengenai Abu Bakr dan tidak tahu juga mengenai Muhammad bin Abdullah? Tapi kalau pun mahukan aku pergi bersama puan menemui anak engkau itu boleh aku ke sana. Jawab Umu Khair: Ya! Apa salahnya, beliau terus bersama-sama Ummu Jamil, didapatinya Abu Bakr terlentang membujur, Ummu Jamil menghampiri beliau dan berteriak sambil berkata: Demi Allah golongan itu telah mengerjakan kau, sebagai pembalasan kepada golongan fasik lagi kafir itu, ku berdoa semoga Allah menuntut bela dari mereka itu, kemudian bertanya Abu Bakr: Apa yang telah Rasulullah s.a.w lakukan? Jawab Ummu Jamil: Ini Ibumu sedang mendengar cakapmu itu: Tak usah ragu-ragukan dia. Kata Ummu Jamil lagi: Baginda selamat dan sempurna. Tanya Abu Bakr: Di mana Baginda? Jawab Ummu Jamil: Baginda di rumah Ibnu Al-Arqam. Kata Abu Bakr: Aku berjanji dengan Allah, aku tidak akan menjamah sebarang makanan pun atau meminum minuman, kecuali setelah ku menemui Rasulullah s.a.w, tetapi mereka berdua menangguhkan pemergian Abu Bakr, sehingga apabila Abu Bakr kembali tenang dan orang ramai pun dah reda, mereka berdua memapah Abu Bakr hinggalah mereka masuk menemui Rasulullah s.a.w.
Kita akan cuba paparkan di sini gambaran hidup yang sukar ditemui mengenai kecintaan dan dedikasi golongan awal terhadap diri Rasulullah s.a.w, di dalam beberapa kejadian berasingan, di dalam penulisan ini, terutama kejadian di hari peperangan Uhud dan apa yang telah dilakukan oleh Khubaib dan mereka yang seumpamanya.
3. Perasaan tanggungjawab (Asy-Syu'ur bi Mas'uliyah)
Para sahabat seluruhnya penuh perasaan dan syu'ur di mana manusia kesehiruhannya dipikul dengan beban tanggungjawab ini, tidak boleh dielak atau ditolak dengan sebarang alasan, padah penolakkan tanggungjawab atau melarikan diri darinya adalah sangat buruk dan berat malah lebih buruk lagi dari penyiksaan itu sendiri, kerugian yang bakal mereka alami terlalu besarjika dibandingkan dengan kepayahan yang mereka hadapi, ekoran kesanggupan mereka memikul tugasan ini. Malah kerugian ini turut ditanggung oleh manusia sejagat.
4. Kepercayaan dengan hari akhirat
Kepercayaan ini adalah sokongan kepada syu'ur kebertanggungjawapan itu, mereka penuh keyakinan dengan apa yang mereka lakukan, itu adalah semata-mata untuk Allah Rab al-'Alamin, di mana mereka akan dinilai dan dihisab oleh Allah dengan yang sekecil-kecil pekerjaan hinggalah kepada yang sebesar-besarnya, balasannya samada ke syurga nirwana atau neraka jahanam, mereka menghabiskan usia mereka di antara ketakutan dan harapan, mengharapkan rahmat Tuhan mereka dan takut dengan azab sengsaraNya. Pernah golongan sahabat ini memberi sedekah dengan apa yang dikurniakan kepada mereka, sedang hati-hati mereka berdegup ketakutan dengan sedekah itu, kalau-kalau tidak diterima. Sesungguhnya mereka kembali kepada Tuhan mereka.Mereka memang mengenali dunia ini samada azabnya atau kesenangannya tak lebih dari sebelah sayap nyamuk, berbanding dengan balasan di akhirat. Pengenalan dan makrifat yang mendalam ini, membawa mereka berasa ringan dengan kepahitan dunia dan kesusahannya, hingga membawa mereka tidak memberi perhatian langsung kepada dunia dan sengsaranya itu.
5. Al-Quran
Disaat yang meruncing, menakut dan menggerunkan ini, turunlah ayat-ayat Al-Quran, memberi sokongan dan keterangan-keterangan kemas mengenai ajaran dasar Al-Islam, di mana dakwah di peringkat itu berkisar di sekitarnya, dengan usiub danjalan bahasa yang menarik di masa yang sama menunjuk ajar kepada kaum muslimin jalan yang sebenar, kepada dasar pembinaan sebuah masyarakat contoh di dunia ini, iaitu masyarakat Islam . Ayat-ayat Al-Quran menyemarakkan perasaan kaum muslimin dan menyegarkan emosi kesabaran dan kecekalan yang telah menempa contoh unggul kepada umat manusia sejagat:
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu ? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta bcnda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkata mereka yang beriman dengannya: "Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Maka jawab Rasul: Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
Al-Baqarah: 214
Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman ", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan). Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta.
Al-'Ankabut: 1-3
Sebagaimana juga ayat-ayat Al-Quran menolak tohmah-tohmah kaum kafirin dan mereka yang engkar, dengan hujah-hujah yang kemas, hingga tidak memberi peluang langsung kepada mereka untuk menjawab, Al-Quran juga memperingatkan mereka kepada akibat-akibat buruk yang bakal mereka hadapi, kiranya mereka masih berdegil untuk tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w itu. Peringatan yang jelas dan nyata berdasarkan kepada hari-hari Allah yang penuh dengan azabNya di masa silam dan bukti-bukti sejarah yang menjelaskan sunnah-sunnah dan ketetapan Allah kepada wali-waliNya dan musuhNya, dan di ketika yang lain ayat Al-Quran berlembut dengan mereka, dan bertegas memberi kefahaman dan petunjuk serta bimbingan, agar mereka sedar dari kesesatan mereka yang nyata itu.
Dari sudut yang lain Al-Quran membawa kaum muslimin di suatu alam yang lain, membawa mereka melihat dan menikmati pandangan alam semesta, keindahan ciptaan Ilahi, kesempurnaan sifat ketuhanan Allah, kesan-kesan kasihan belas Allah dan jelmaan kesayangan Allah yang mereka nostalgiakan kepadanya, yang tidak dihalang oleh mana-mana pendinding.
Di dalam ayat-ayat ini tersemat percakapan yang dibahasakan kepada kaum muslimin, memberitahu berita-berita gembira dari Tuhan mereka mengenai rahmat, keredhaan dan syurga-syurga, di dalamnya nikmat berkekalan. Al-Quran juga mendedahkan kepada kaum muslimin kedudukan seteru-seteru mereka, kafirin, penzalim, mereka dihukum, dihalau dan diseret dengan muka tertiarap untuk disumbat ke dalam neraka katanya: Ayuh kecapilah kejutan neraka Saqar.
6. Berita kejayaan
Walau pun segala kesengsaraan yang dialami oleh kaum muslimin namun mereka sudah mengetahui sejak di hari pertama mereka menghadapi tekanan penyiksaan, malah sebelum mereka memeluk Islam, kerana masuk sahaja ke dalam Islam bererti mereka menempah musibah dan kebinasaan, bahkan dakwah Islamiah itu sendiri memang matlamat utamanya ialah membenteras jahiliyyah dan sistemnya yang zaiim, di samping menyebar luas kekuasaan Islam ke atas kuasa politik dunia, demi untuk membawa umat manusia seluruhnya ke jalan yang diredhai Allah, membebaskan mereka dari perhambaan sesama manusia kepada pengabdian kepada Allah semata-mata.
Di sini Al-Quran turun dengan berita gembiranya, kadang-kadang dengan bahasa nyata, kadang-kadang melalui kiasan dan kinayah, di dalam masa yang genting ini dunia bagaikan menjadi sempit untuk kaum muslimin, suasana persekitaran mencekik mereka, malah membunuh mereka, di saat-saat seumparna inilah ayat Al-Quran turun membawa kisah nabi-nabi silam dah kaum sebangsa yang mendusta dan menentangnya. Ayat-ayat Al-Quran ini mempamerkan persekitaran dan suasana yang menyamai dengan situasi kaum muslimin di Makkah dan sikap kafirnya, seterusnya ayat-ayat Al-Quran itu memperturunkan kisah selanjutnya mengenai akibat dan padah buruk yang diterima oleh penentang-penentang para nabi itu, di mana mereka dibinasakan oleh Allah di atas kedegilan dan keterlaluan mereka menentang dan mencabar Allah dan RasulNya diakhiri dengan pelaksanaan janji Allah, di mana bumi Allah dan kekuasaanNya diperturunkan kepada golongan beriman. Kisah ini memberi isyarat bahawa kaum kafir Makkah akan menerima nasib yang sama di mana mereka kekal di dalam penentangan mereka yang berterusan, akhirnya kejayaan berpihak kepada kaum muslimin dan kepada dakwah Islamiah.
Di dalam tempoh-tempoh ini ayat Al-Quran terang-terang menjanjikan kemenangan untuk kaum mukminin.
Dan demi sesungguhnya! Telah ada semenjak dahulu lagi, ketetapan Kami, bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul. Bahawa sesungguhnya merekalah orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan. Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran).0leh itu berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga kesuatu masa. Dan lihat (apa yang akan menimpa) mereka; tidak lama kemudian mereka akan melihat (kemenangan yang telah Kami tetapkan untukmu). Maka tidaklah patut mereka meminta disegerakan awb (yang telah ditetapkan oleh) Kami! Kerana apabila awb itu turun dalam daerah dan kawasan mereka, sudah tentu buruklah hari orang yang tidak mengindahkan ' amaran yang telah diberikan.
Ash-Shaffaat: 171-177
Kumpulan mereka yang bersatu itu tetap akan dikalahkan, dan mereka pula akan berpaling lari.
Al-Qamar: 45
(Sebenamya mereka hanyalah) satupasukan tentera dari kumpulan-kumpulan (yang menentang kebenaran), yangpada suatu masa kelak tetap akan dikalahkan.
Shaad: 11
Dan ayat Al-Quran turun mengenai mereka yang berhijrah ke Habsyah:
Dan orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia inipada tempatnya yang balk; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui.
An-Nahl: 41
Kaum kafir pernah bertanya Rasulullah s.a.w mengenai nabi Yusuf dan saudaranya maka turun ayat Al-Quran:
"Demi sesungguhnya! (Kisah) Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya itu mengandungi beberapa pengajaran bagi orang yang bertanya "
Yusuf: 7
Kaum kafirin Makkah sebagai pihak yang bertanya akan menerima padah kedegilan mereka, seperti mana saudara Yusuf menerima akibat tindakan mereka yang terkutuk itu, akhirnya mereka akan tunduk kepada Yusuf, dan Allah berfirman sebagai memperingati para Rasul:
Dan berkatalah pula orang yang kafir itu kepada Rasul-rasul mereka: "Demi sesungguhnya, kami akan mengeluarkan kamu dari negeri kami atau kamu menjadi seagama dengan kami". Lalu Tuhan wahyukan kepada Rasul-rasul-Nya: "Demi sesungguhnya! Kami akan membinasakan orang yang zalim. "Dan demi sesungguhnya! Kami akan tempatkan kamu di negeri itu sesudah binasanya kaum, yang zalim itu; balasan baik yang demikian, adalah bagi orang yang takut akan sikap keadilan-Ku (menghitung amalnya), dan takut akan janji-janji azabKu".
Ibrahim: 13-14
Semasa meletusnya peperangan di antara Parsi dan Roman, pihak musyrikin mengharapkan agar Parsi musyrik seperti mereka menang di dalam peperangan berkenaan, sedang kaum muslimin mengharapkan Roman pula yang menang lantaran mereka sebagai pihak yang beriman dengan Allah dan para Rasul serta wahyu kitab dan hari akhirat, tetapi kemenangan berpihak kepada Parsi, dalam hal ini Allah menurunkan ayat Al-Quran memberi berita gembira iaitu kemenangan Roman pada beberapa tahun akan datang, namun ayat Al-Quran tidak berhenti setakat itu sahaja malah terang-terang menyampaikan berita yang lain, iaitu pertolongan Allah kepada kaum mukminin dengan firmanNya:
Orang yang beriman akan bergembira. Dengan kemenangan yang diberi Allah.
Ar-Ruum: 4-5
Rasululullah sendiri sering menyampaikan khabar gembira bisyarat seperti ini dari semasa ke semasa, sebagaimana kebiasaan, apabila tibanya musim haji Rasulullah s.a.w berdiri di pasar Ukaz, Mijannah dan Zu Al-Majaz untuk menyeru orang ramai kepada Islam, menyampaikan risalahnya, dengan tidak hanya menyampaikan khabar mengenai syurga sahaja malah menjelaskan kepada mereka dengan sabdanya yang tegas, bermaksud:
"Wahai kalian yang hadir, ucaplah La ilah ha Ilia Allah nescaya kamu berjaya, dengannya kamu memerintah bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pula akan tunduk kepada kamu, kiranya kamu mati nescaya kamu sebagai raja-raja di syurga Allah"
Sebelum ini sudah pun kita sebutkan jawapan Rasulullah s.a.w kepada Utbah bin Rabi'ah semasa beliau menawarkan Rasulullah s.a.w kesenangan-kesenangan dunia, di mana Utbah sendiri telah dapat memahami bahawa usaha Rasulullah s.a.w ini akan menjadi kenyataan dan realiti di bumi sejagat.
Demikian juga dengan jawapan Rasulullah s.a.w kepada perwakilan yang datang menemui Abu Talib, di mana Rasulullah s.a.w dengan jelas meminta supaya mereka mengucap dengan satu kalimah sahaja sebagai janji dari mereka, dengannya bangsa Arab akan tunduk kepada mereka dan bangsa-bangsa asing akan mereka kuasai.
Khabbab bin Al-Arat telah berkata: "Aku telah menemui Rasulullah s.a.w, semasa itu Baginda sedang berbantalkan kainnya, dilindungan Kaabah, di ketika itu seluruh mereka menghadapi tentangan hebat kaum musyirikin, ku berkata kepada Baginda: Tidakkah boleh tuan hamba meminta pertolongan dari Allah. Rasulullah s.a.w pun bangun dengan keadaan mukanya merah-merah sambil bersabda: Sebenarnya orang mukmin yang terdahulu dari kamu pernah disikat belakangnya dengan sikat besi hingga luluh habis dagingnya, namun tiada suatu pun boleh mengugat pegangan mereka, pasti Allah akan sempurnakan urusan agama ini, hingga seseorang musafir dapat berjalan dari San'a hingga ke Hadhramaut tanpa takut sesuatu apa pun, selain dari Allah dan serigala ke atas kambingnya, tetapi kamu beristi'jal dan tergesa-gesa.
Berhadapan dengan isyarat yang menjanjikan masa yang cemerlang di dunia ini, di samping harapan yang cerah untuk memiliki syurga Allah, para sahabat melihat penyiksaan yang silih menimpa mereka dan bala bencana yang mengelilingi mereka tidak lebih dari mendung timur yang menyelubungi suasana yang tidak lama akan hilang. Rasulullah s.a.w terus mengukuhkan jiwa mereka dengan sajian kerohanian dan keimanan, mentazkiyahkan hati-hati mereka dengan ajaran-ajaran Al-Quran dan hikmah- hikmahnya, mentarbiahkan mereka dengan latihan yang membina budi, membimbing jiwa-jiwa mereka ke rnercu kemuliaan diri, kesucian hati, keheningan susila, kebebasan'dari rantai meterialistik, penentangan hawa nafsu, dan melonjak syahdu kehadrat Ilahi, Pencipta petala langit dan bumi. Seluruh sanubari mereka dibersihkan, hingga keluarlah mereka dari buana kegelapan ke alam cahaya dan nur, melatih mereka cekal hati menghadapi cabaran dan rintangan hawa nafsu, hingga dengannya mereka semakin kukuh berpegang dengan agama, menolak ke tepi syahwat hawa nafsu, bermatian ke jalan Allah dan keredhaanNya, penuh nostalgia kepada syurga nirwanaNya, perihatin untuk memperolehi ilmu, bertafaqquh dalam agama, menghitung diri, menunduk runtunan nafsu, mengatasi emosi, menguasai berontakan perasaan, kesemuanya ditambah dengan kesabaran, ketenangan dan ketabahan hati.
PERINGKAT KEDUA
Seruan Islam ke Luar Mekah
Rasulullah s.a.w di Ta'if:
Pada bulan Syawal tahun kesepuluh kebangkitan Rasulullah s.a.w bersamaan akhir Jun 619 Masihi, Rasulullah s.a.w telah keluar ke Ta'if, yang terletak kurang lebih enam puluh batu dari kota Makkah. Pemergian Rasul ke sana dan kepulangan Baginda dari sana adalah dengan berjalan kaki, bersama Baginda ialah suruhannya Zaid bin Harithah, setiap qabilah yang Baginda lewati dalam perjalanan ke Ta'if Baginda menyeru mereka kepada Islam, namun usaha Baginda itu tidak seorang pun yang menyahutinya, setibanya Baginda ke bumi Ta'if Baginda mendampingi tiga adik beradik dari pimpinan Thaqif iaitu Abdul Yalii, Mas'ud dan Habib anak kepada Amru bin Umair al-Thaqafi, di sana Baginda menyeru mereka kepada Islam dan menyokongnya, tetapi sebagai jawapannya salah seorang dari mereka berkata: Allah telah mengoyak tirai Kaabah sekiranya engkau yang diutuskan sebagai nabi. Kata seorang lagi. Tak ada orang lainkah untuk diutuskan Allah selain dari engkau. Dan kata yang ketiga: Demi Allah aku tak hendak bercakap dengan engkau, sekiranya kau seorang utusan Allah, maka kau adalah lebih merbahaya untuk ku menjawab persoalan kau itu, dan sekiranya kau berdusta'maka tidak seharusnya bagiku untuk menjawabnya. Rasulullah s.a.w pun bangun dari situ dan meminta supaya mereka tidak mengheboh-hebohkan perbincangan itu.
Rasulullah s.a.w berada di kalangan penduduk Ta'if selama sepuluh hari, dengan mengajak mereka kepada Islam, tidak ada seorang pembesar pun yang tidak didakwahnya, tetapi sebagai jawapan mereka berkata: Ayuh keluarlah kamu dari bumi ini, seterusnya mereka memprovokasi dan mengapi-apikan golongan-golongan bodoh dan hamba-hamba sahaya mereka, supaya memaki hamun Rasulullah s.a.w, malah mereka berbaris disepanjangjalan keluar ke Ta'if, untuk melontar Rasulullah s.a.w dengan anak-anak batu disertai maki cerca dan sumpah hamun yang tak terperi, hingga pecah dan luka-luka kaki Baginda, darah melumuri kasut Baginda manakala Zaid bin Harithah pula membentengkan badan Rasulullah s.a.w dengan dirinya hingga luka kepalanya, golongan bodoh ini terus menghentam Rasulullah s.a.w dengan lontaran anak-anak batu kerikil, hingga terpaksa Rasulullah s.a.w berlindung di tepi tembok kepiinyaan Utbah dan Syaibah dua orang anak lelaki Rabi'ah, tembok berkenaanjaraknya tiga batu dari Ta'if, setelah berlindung di situ barulah budak-budak nakal dan hamba sahaya suruhan kaum di Ta'if reda dan berpatah balik, di situ Rasulullah s.a.w berteduh di bawah para pokok anggur dan menyandarkan belakangnya ke tembok lalu berdoa kepada Allah dengan doa yang amat terkenal, doa itu membayangkan isi hati Rasulullah s.a.w yang melimpah dengan dukacita yang amat sangat, dengan apa yang telah dihadapi di Ta'if sana, dan kesal Baginda yang tak terkira kerana tiada siapa pun yang menyahut seruan dakwahnya:
"Tuhanku kepada Dikau ku mengadu hal keletihan tenagaku, kekurangan. hilahku, kehinaanku di hadapan manusia, wahai Maha Penyayang Lagi Kasihan belas. Dikaulah Tuhan golongan lemah dan dhaif. Dikaulah Tuhanku, kepada siapa lagi yang hendak ku menyerah? Apakah kepada orang yang jauh membenci daku ? atau kepada seteru yang telah Kau ben kuasa mengatasi daku? Kiranya tiada kemarahan Kau ke atasku, tidaklah kupeduli, namun afiat dari Mu lebih luas bagiku, ku berlindung dengan cahayaMu. Dikaulah yang menerangi kegelapan, dengannya urusan di dunia dan di akhirat menjadi baik, aku berlindung denganMu dari terturunnya ke atasku kemurkaanMu, atau terturun kemarahanMu, bagi kau jua tempat kembalinya hingga tercapai keredhaanMu, tiada daya dan upaya kecuali denganMu Ya Tuhan ".
Setelah diperhati oleh dua orang anak Rabi'ah, tergerak juga perasaan kasihan belas terhadap Baginda, mereka memanggil budak suruhan mereka yang bernama 'Iddas yang beragama Nasrani, kata mereka:
"Ayuh ambillah segugus buah anggur itu dan pergi serta berikan kepada orang itu". Bila mana beliau meletakkan ke tangan Rasulullah s.a.w Baginda pun menerimanya dengan membaca "Bismillah" Baginda pun memakannya.
Tanya 'Iddas: Bacaan tadi tidak pernah disebut oleh penduduk kampung ini, kata Rasulullah s.a.w: Saudara ini dari negeri mana, dan apa pula agama pegangan saudara? Kata 'Iddas: Saya beragama Nasrani, dari kampung Ninawa. Kata Rasulullah s.a.w: Dari kampung lelaki salih iaitu Yunus bin Matta itu? Beliau adalah saudara saya, beliau adalah nabi, dan saya adalah nabi, dengan itu 'Iddas pun memeluk kepala Rasulullah s.a.w serta mencium kedua-dua tangan dan kedua-dua kakinya.
Maka berkata kedua-dua anak Rabi'ah di antara satu sama lain: Nampaknya budak suruhan mu itu sudah dirosakkan. Bila 'Iddas datang menemui kedua-dua tuannya, mereka pun berkata: Rosaklah kau, apa itu? Jawab 'Iddas: Tidak ada di atas muka bumi suatu pun yang terlebih baik dari orang itu, beliau telah menceritakan daku hal-hal yang tidak diketahui kecuali oleh seorang nabi, kata mereka lagi: Rosaklah kau 'Iddas, jangan sampai kau keluar dari agamamu itu, sesungguhnya agamamu itu lebih baik dari agamanya.
Dengan itu Rasulullah s.a.w pun berpatah balik ke Makkah iaitu setelah berjalan keluar dari kawasan kebun anggur tadi, diselubungi perasaan dukacita dan patah hari, setibanya Baginda di kampung Qarn Al-Manazil, Allah mengutus Jibrail (a.s) bersama dengan para malaikat penguasa gunung-ganang, untuk mendapat perintah dari Baginda untuk menghempap penduduk Makkah dengan bukit Al-Akhsyabain.
Imam Al-Bukhary melalui sanadnya menceritakan dengan panjang lebar hadith dari Urwah Ibn Az-Zubair bahawa 'Aisyah (r.a) telah meriwayat hadith kepadanya di mana beliau telah berkata kepada Rasulullah s.a.w, Adakah pernah di suatu hari tuan hamba merasa lebih berat dari peperangan Uhud? Jawab Rasulullah s.a.w: Daku telah menerima penyiksaan dari kaum kau segala-galanya, yang terlebih berat ku tanggungnya ialah peristiwa hari Al-Aqabah di hari itu ku telah memperkenalkan diriku kepada anak Abdul Yalii bin Abdul Kalal, namun mereka tetap tidak menyahut seruanku itu, ku beredar dari situ, membawa diri penuh kehibaan dan duka nestapa, tanpa menyedari kecuali setelah sampai ke Qarn al-Tha'alib yang dikenali sebagai Qarn Al-Manazil ku mendongak ke langit, tiba-tiba sahaja ku melihat mendung tebal memayungi daku, ku renung lagi, ku dapati Jibril, beliau menyeru daku dengan katanya: Sesungguhnya Allah telahpun mendengar kata-kata kaum kau itu dan segalajawapan dan penolakan mereka terhadapmu itu, justeru itu maka Allah telah mengutus malaikat penguasa gunung-ganang untuk kau perintahkannya bertindak terhadap kaum kau itu, malaikat penguasa gunung-ganang tadi memanggil Baginda serta memberi salam pada aku dan berkata: Wahai Muhammad, itu dia bukit-bukit, apa yang kau mahu, sekiranya kau mahu aku tangkupkan mereka dengan bukit Al-Akhsyabain itu, nescaya ku lakukan. Al-Akhsyabain ialah dua buah bukit di Makkah, iaitu bukit Abu Qubais dan bukit Qaiqa'an. Jawab Rasulullah s.a.w: Tapi apa yang ku harapkan ialah agar Allah mengeluarkan zuriat dari keturunan mereka itu benih-benih yang akan menyembah Allah yang Esa tanpa mempersekutukan Allah sesuatu apa pun.
Di dalam jawapan Baginda kepada Jibril dan Malaikat berkenaan, memperlihatkan keperibadian Rasulullah s.a.w yang luar biasa dan memperlihatkan kemuliaan akhlak Rasulullah s.a.w yang tidak dapat diduga keagungannya.
Rasulullah s.a.w tersedar dari pertemuan qudus itu dengan ketenangan yang menepu di lubuk nubarinya, lantaran pertolongan Ilahi yang dikurniakan kepada Baginda khusus, dari tujuh petala langit, Rasulullah s.a.w menyambung perjalanan ke Makkah hingga Baginda sampai ke "Wadi Nakhlah" di mana Baginda tinggal di situ untuk beberapa hari, di Wadi Nakhlah atau Lembah Nakhlah terdapat dua kawasan yang sesuai untuk persinggahan, iaitu As-Sail Al-Kabir dan al-Zaimah, kedua-duanya subur dan berair. Namun kami tidak mempunyai rujukan yang boleh menentu secara tepat tempat persinggahan Baginda itu.
Dalam tempoh persinggahan Rasulullah s.a.w di lembah Nakhlah, Allah (s.w.t) telah mengutus beberapa jin, di mana Allah menyebut peristiwa ini di dalam dua tempat, satu di dalam surah Al-Ahqaf yang bermaksud:
Dan (Ingatlah peristiwa) semasa kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Qur'an; setelah mereka menghadiri bacananya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!" Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Qur'an itu dengan) memberi ingatan dan amaran. Mereka berkata: "Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Qur'an) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi memandu kepadakebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (Agama Islam). "Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari az.ab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Al-Ahqaaf: 29-31
Dan satu lagi di dalam surah Al-Jin:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahikan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: 'Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguK menakjubkan!. Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betui, lalu kami beriman kepada-Nya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami...
Al-Jin: 1-2
Penceritaannya boleh dilihat dengan jelas hingga ke ayat 15 surah yang sama. Dari jalan penceritaan ayat-ayat ini dan juga riwayat hadith dalam hubungan tafsir ayat Al-Quran mengenai peristiwa ini, ternyata bahawa Rasulullah s.a.w tidak pun menyedari tentang kehadiran beberapajin itu, Rasulullah s.a.w mengetahui setelah Allah memberitahu RasulNya mengenai kehadiran jin-jin itu, dan kehadiran kumpulan jin ini pun adalah kali pertama dan dapat difahami juga bahawa jin-jin ini mendatangi majlis Rasulullah s.a.w berulang kali selepas kedatangan ini, yang inerupakan sokongan padu Allah yang diberikannya kepada RasulNya dari alam ghaib, dengan bala tenteranya yang tidak diketahui bilangannya melainkan Dia. Adapun ayat-ayat yang diturunkan mengenai peristiwa ini, kandungannya membawa bisyarah kejayaan dakwah Rasulullah s.a.w. Malah tiada mana-mana kekuatan di dunia ini yang mampu menghalang penerusan kejayaan ini:
"Dan sesiapa yang tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya kejalan Allah, maka ia tidak akan dapat melepaskan diri {dari balasan azab, walau ke mana sahaja ia melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapa pun - yang lain dari Allah -sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata ".
Al-Ahqaaf: 32
'Dan bahawa sesungguhnya kita (sekarang) mengetahui, bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat melepaskan diri dari balasan Allah (walau dimana sahaja kita berada) di bumi, dan kita juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri dari balasanNya (walauke langit sekalipun).
Al-Jin: 12
Berhadapan dengan pertolongan dan bisyarah ini tersingkaplah mendung duka nestapa dan perasaan putus asa Baginda yang menghantui perjalanan Rasulullah s.a.w, selepas Baginda keluar dari Ta'if setelah diburu dan dihalau oleh penduduk di sana, malah pertolongan dan bisyarah ini telah memberi tekad dan kekuatan baru untuk kembali ke Makkah dan memulakan kerja dakwahnya dengan satu perancangan baru yang penuh semangat dan azam.
Di ketika ini Zaid bin Harithah bertanya kepada Baginda dengan katanya: Bagaimana pula tuanhamba hendak masuk ke Makkah, sedang mereka telah mengeluarkan tuan hamba dari sana? Jawab Baginda: Wahai Zaid, sesungguhnya Allah (s.w.t) telahpun memberi pertolongan dan jalan keluar, maka sesungguhnya Allah jualah menolong agamaNya dan membantu nabiNya.
Rasulullah s.a.w meneruskan perjalanannya, hampir sampai ke Makkah, Rasulullah s.a.w singgah dan tinggal di Hira', semasa di situ Rasulullah s.a.w menghantar seorang utusan dari qabilah Khuza'ah, untuk menemui Al-Akhnas bin Syuraiq untuk memperolehi suaka kepada Baginda, sebagai tindakbalas Al-Akhnas berkata: Aku adalah bersekutu dengan Quraisy dan sekutu tidak boleh memberi suaka. Dengan itu Rasulullah s.a.w mengutus kepada Suhail bin Amm, namun Suhail menjawab: Sebenarnya bani Amir tidak boleh memberi suaka ke atas bani Kaab, maka seterusnya Rasulullah s.a.w meminta Al-Mut'am bin 'Adi, memberi suaka kepadanya, jawab Al-Mut'am: Ya, aku sanggup memberi suaka untuk kamu, dengan itu beliau mengenakan dirinya dengan peralatan senjata dan mengajak anak buahnya dan seluruh kaumnya; Ayuh siapkan diri kamu dengan peralatan dan ambil tempat masing-masing di penjuru Kaabah di Bait Al-Haram, kerana hari ini aku memberi suaka dan perlindungan kepada Muhammad s.a.w.
Setelah semua mereka bersiap, beliau menghantar utusan kepada Rasulullah s.a.w menjemput Baginda memasuki Makkah bersama-sama dengan Zaid bin Harithah, dengan itu Baginda bersama-sama Zaid pun memasuki Makkah, Baginda berjalan hingga tiba di perkarangan Kaabah di situlah Al-Mut'am bin 'Adi pun bangun di atas tunggangannya sambil melaung: Wahai kalian Quraisy, sebenarnya aku bertanggungjawab memberi suaka perlindungan kepada Muhammad, oleh yang demikian tidak akan ada seorang pun dari kamu yang memakinya. Rasulullah s.a.w berjalan hingga sampai ke sudut Hajar Al-Aswad lalu Baginda menjamahnya dan bersembahyang dua rakaat, kemudian beredar pulang ke rumahnya, sedang Al-Mut'am bin 'Adi bersiap siaga dengan persenjataan mereka mengawas Rasulullah s.a.w hingga Baginda memasuki rumahnya.
Diceritakan bahawa setelah itu Abu Jahal menyoal Al-Mut'am katanya: Kamu ini mengikut Muhammadkah atau memberi suaka perlindungan? Kata Al-Mut'am: Bahkan pemberi perlindungan. Maka jawab Abu Jahal: Ya, kalau demikian maka kami lindungi orang yang kau lindungi itu.
Jasa Al-Mut'am ini, Rasul mengenanginya, di mana Rasulullah s.a.w mengumumkan mengenai tawanan Badar sabdanya yang bermaksud: Kalau Al-Mut'am bin 'Adi masih hidup dan meminta supaya ku berlembut dengan tawanan ini nescaya ku lepaskan mereka demi mengenang jasanya dulu.