25 Jun 2009

anak harimau di The lost World Theme Park Tambun Ipoh Perak

Tiga ekor anak harimau yang baru dilahirkan oleh ibunya bernama Jazz di Lost World Of Tambun, Ipoh, baru-baru ini.
- Gambar HANAFI KHAMIS

IPOH 27 Ogos - Lost World of Tambun, taman tema air terkenal di sini merayakan Hari Kebangsaan Ke-51 tahun ini dengan perayaan berganda apabila seekor harimau spesies Siberia bernama Jazz yang lahir pada 31 Ogos, empat tahun lalu kini melahirkan tiga ekor anak harimau yang sihat dan comel.

Pengurus Besar Lost World Tambun, Calvin Ho berkata, anak-anak harimau belang yang setiap satunya seberat 1.2 kilogram lahir pada 13 Ogos lalu.

''Hari ini, anak harimau yang dilahirkan itu dalam keadaan sihat dan pada Hari Kemerdekaan tahun ini, Jazz menjadi bapa kepada tiga ekor anak harimau yang lahir dalam bulan merdeka.

'Kelahiran ini ibarat sambutan berganda bagi kami dan kami amat gembira menerima kelahiran anak-anak harimau spesies Siberia ini dan kami menyediakan kemudahan terbaik untuk mereka," katanya pada sidang akhbar di Lost World Tambun di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini nama ketiga-tiga anak harimau tersebut belum diberi lagi tetapi pihaknya percaya dengan kelahiran anak-anak harimau ini dapat memberi seribu satu makna kepada taman tema itu.

Beliau berkata, Jazz dan tiga ekor anak harimau yang baru lahir itu kini dibesarkan di Tiger Valley, kawasan yang selamat dan sesuai untuk pembesaran anak-anak harimau.

Sehingga kini, Tiger Valley di Lost World of Tambun melahirkan lapan ekor anak harimau dan menjadikan jumlah harimau yang terdapat di taman tema air itu bertambah kepada 12 ekor.

Sultan, Jessie dan Raima merupakan harimau spesies Siberia yang telah diselamatkan daripada sirkis dari Rusia melalui inisiatif Kumpulan Sunway.

Calvin Ho berkata, kawasan tema itu memang sesuai untuk ternakan binatang tersebut kerana kesemua binatang peliharaan di kawasan itu tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

''Kami lihat harimau di sini berkeadaan sihat, mungkin disebabkan kedinginan di kawasan batu kapur di sini, aktif dengan bulunya yang segar dan kami membelanjakan sebanyak RM100,000 setahun khusus untuk membela binatang berkenaan," katanya.