14 Jun 2010

ternak landak_sahabat UPM usahakan di N9

MELIHAT kepada rupa yang menimbulkan kegelian orang ramai dan spesies yang termasuk dalam kategori haiwan eksotik serta diakui lambat memberikan pulangan lumayan berbanding menternak kambing dan lembu, sukar difahami mengapa landak menjadi pilihan untuk diternak.

Namun cabaran itulah disambut tujuh rakan yang berkongsi azam, tekad dan modal menubuhkan syarikat Bahtera Ternak Sdn Bhd bagi menternak haiwan berduri itu untuk tujuan komersial. Biarpun menyedari landak lambat memberikan pulangan kerana penjualannya perlu mematuhi syarat yang ditetapkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), tetapi ia bukan halangan kepada pengerusi syarikat berkenaan, Rathuan Md Som, 47, dan enam rakannya untuk membabitkan diri secara serius dalam usaha itu.

Rathuan berkata, idea mempopularkan makanan eksotik itu muncul pada 2008. Selain landak, Jabatan Perhilitan turut menyenaraikan pelanduk dan kijang sebagai haiwan eksotik yang memerlukan permit untuk tujuan penternakan dan pemburuan untuk dijadikan makanan.

“Saya terfikir untuk mempopularkan makanan eksotik dan memilih landak untuk tujuan itu kerana tidak ramai orang berani mengambil risiko menternak landak. Jika tidak silap, termasuk saya cuma tiga penternak menjalankan usaha ini secara besar-besaran. Tambahan pula Jabatan Perhilitan sendiri memberi cadangan itu.

“Walaupun mudah dijaga dari segi makanan dan jarang diserang penyakit, landak tidak seperti kambing, sebagai contoh, yang mudah bunting dan melahirkan anak. Selepas dua tahun beroperasi, landak yang diternak baru lima kali melahirkan 12 anak menjadikan jumlah haiwan itu 72 ekor.
“Landak ialah hidupan liar yang lasak tetapi sensitif dari segi pembiakan. Ia perlukan pasangan yang serasi untuk tujuan pembiakan. Ia adalah masalah paling besar dalam usaha penternakan landak, selain habitat dan perwatakan,” katanya ketika ditemui di ladangnya baru-baru ini.

Rathuan berkata, landak hanya akan mengawan dengan pasangan yang dianggap serasi.

“Ia tidak mengawan sebarangan. Itu halangan paling besar untuk menternaknya. Jika tidak serasi, sehingga setahun diletak dalam kurungan sama, ia tidak akan bunting. Apabila ini berlaku, kami akan menukarkan pasangan. Ia berlaku kerana biasanya ibu dan bapa landak diperoleh dari tempat berlainan. Sebagai contoh, ibu diperoleh di Selangor, manakala bapa dari Kelantan.

“Ia mungkin daripada spesies sama tetapi kumpulan berlainan. Namun apabila ia serasi dan berjaya melahirkan anak, anak itu mudah mendapat mencari keserasian. Berbeza dengan landak liar di dalam hutan, ia senang mencari pasangan,” katanya.
Berikutan masalah pembiakan, Jabatan Perhilitan kini masih dalam peringkat kajian untuk melaksanakan proses permanian berhadas untuk haiwan itu.

Beliau berkata, penternakan landak memerlukan modal besar dan kesabaran tinggi kerana ia tidak seperti haiwan ternakan lain yang cepat memberikan hasil. Mereka berkongsi membeli tanah seluas 0.8 hektar di Kampung Kapal, Ulu Beranang, Negeri Sembilan untuk tujuan itu.

Malah ketujuh-tujuh rakan kongsi berkenaan mempunyai kerjaya tetap dan menjadikan penternakan landak ini sebagai usaha sampingan kerana minat.

“Ia bukan mudah kerana memerlukan modal tinggi. Perlu diingat, landak tidak seperti kambing atau lembu yang dapat memberikan pulangan segera dan lumayan. Ia mengambil masa lama untuk dijual kerana peraturan Jabatan Perhilitan cuma membolehkan generasi ketiga landak yang diternak untuk tujuan jualan.

“Sebagai contoh, sepasang landak yang ditemui diternak dan melahirkan anak. Jabatan Perhilitan menetapkan apabila anak berkenaan melahirkan anak, barulah anak itu boleh dijual. Selain untuk memperoleh pasangan induk, modal juga diperlukan untuk membeli tanah bagi tujuan penternakan, pembinaan kandang, makanan serta mengupah pekerja. Kami mengeluarkan simpanan sendiri untuk tujuan ini tanpa mana-mana pinjaman,” katanya.

Mengenai hasrat menjadikan landak sebagai hidangan komersial, Rathuan berkata, dia dan rakan-rakannya yakin daging haiwan liar untuk mempunyai permintaan dalam masyarakat, terutama apabila disahkan kandungan Omega-3 lebih tinggi berbanding ayam dan daging serta bagus untuk mengelakkan sakit jantung. Ia dikatakan makanan berkelas tinggi kerana daging mentah yang mencecah RM80 sekilogram.

“Daging landak sedap dibuat rendang dan sup. Bagi tujuan pemburuan, Jabatan Perhilitan mengeluarkan permit lain untuk membolehkan ia diburu dan dijual. Daging landak juga tidak berlemak,” katanya.

Rathuan berkata, landak boleh melahirkan seekor hingga dua ekor anak tetapi ia tetap bergantung kepada keserasian dengan pasangan.

Menariknya, landak dilahirkan dengan duri tersedia pada badannya tetapi ia tidak keras seperti landak dewasa dan ia beransur-ansur keras selepas itu. Duri itu juga menjadi pelindung daripada ancaman bahaya.

Menyentuh mengenai pemakanan, Rathuan berkata, landak ternakannya diberi makan sayur-sayuran, keledek, nangka, pisang dan betik yang dibeli daripada penduduk kampung berhampiran. Malah mereka turut mengalirkan sendiri air dari bukit sejauh dua kilometer untuk memastikan ia tidak dicemari demi menjamin kesihatan haiwan berkenaan.

Beliau berkata, antara penyakit yang kerap melanda landak ialah bengkak hati dan bedah siasat ke atas landak yang mati sebelum ini mendapati cacing menyerang hatinya.

“Tanda-tanda landak berpenyakit ialah ia tidak mahu makan, suka menyendiri dan tidak aktif. Apabila melihat tanda ini, kami akan membawa berjumpa doktor haiwan untuk tujuan pemeriksaan dan rawatan,” katanya.

Menariknya mengenai landak yang diternak Rathuan dan rakan-rakannya, ialah setiap seekor mempunyai cip dalam badan untuk tujuan pengenalan terutama apabila sakit.

INFO: Landak
• Hanya tiga spesies landak daripada Famili Hystricidea di Malaysia iaitu spesies Hystrix brachyura (landak raya), Trichys fasciculata (landak padi) dan Atherurus macrourus (landak nibung).
• Landak raya atau dalam Malayan Porcupine adalah haiwan yang tersenarai dalam Jadual Dua - Hidupan Liar Yang Dilindungi, Bahagian II - Haiwan Perburuan di dalam Akta Perlindungan Hidupan Liar No.76/72
• Seekor landak matang disembelih ketika usia lapan hingga 12 bulan dan boleh menghasilkan kira-kira lapan kilogram daging.
• Landak raya mempunyai sehingga 30,000 duri dengan setiap satunya mempunyai cangkuk sendiri yang boleh mencangkuk tubuh pemangsa yang cuba menyerangnya.