Harimau
Harimau tergolong dalam kerajaan haiwan dalam filum kordata (bersaraf tunjang), sub-filum vertebrata (bertulang belakang), kelas mamalia (berdarah panas, berbulu dengan kelenjar menyusu), susunan maging (Carnivor), keluarga felidae (kucing), genus panthera, spesies tigris (harimau).
Sejarah Silam Harimau
Harimau dan kesemua haiwan pemangsa order maging (karnivor) merupakan keturunan haiwan purba yang dikenali sebagai Miacids yang hidup pada akhir zaman Cretaceous kira-kira 70-65 juta tahun dahulu semasa zaman dinosaur di Asia Barat (Andrew Kitchener, "The Natural History of Wild Cats"). Tidak banyak fossil Miacids dijumpai tetapi berdasarkan fossil yang dijumpai, Miacids dipercayai merupakan mamalia maserba bersaiz kecil dan berkaki empat. Miacids mempunyai 44 gigi termasuk gigi khas untuk mengoyakkan daging, mempunyai badan yang panjang, berekor panjang, mempunyai bahu dan siku yang boleh melentur, dengan anggota kaki yang pendek. Miacids beransur-ansur berubah selama tempoh 60 juta tahun untuk menghasilkan beratus-ratus cabang keturunan termasuk anjing, beruang, anjing laut, weasels, stoats, dan sebagainya.
Dua sub-order utama dari keturunan Miacids adalah Fissipeda (kaki terbelah) yang termasuk weasel, cemperlai, anjing, hyenas, kuching, cemperlai; dan Pinnipeda ("mempunyai kaki pendayung") yang termasuk singa laut, anjing laut, dan gajah mina (walruses). Di antara Fissipeda termasuk 37 spesies kucing besar (big cats) yang terdapat pada masa sekarang, termasuk harimau (Panthera tigris ).
Fosil harimau yang hidup pada akhir zaman Pliocene / zaman Pleistocene telah ditemui di kawasan timur Asia di China dan Siberia, dan dari situ harimau dipercayai bergerak kepada dua arah. Harimau yang bergerak melalui hutan Asia Tengah ke barat dan baratdaya menjadi harimau Caspian. Harimau yang bergerak dari Asia Tengah ke arah kawasan pergunungan barat, dan seterusnya ke Asia tenggara dan kepulauan Indonesia, sebahagiannya ke barat sehingga ke India (Hemmer,1987)
Harimau gigi Sabre (Harimau Sabre-tooth)
Harimau gigi Sabre merupakan salah satu cabang evolusi keluarga kucing tetapi bukanlah leluhur langsung keluarga harimau yang terdapat pada masa sekarang. Cabang keturunan harimau gigi Sabre telah pupus semenjak berjuta tahun dahulu. Harimau gigi Sabre mendapat nama daripada giginya yang menjulur keluar, bengkok seperti pedang sabre yang digunakan oleh tentera berkuda.
Terdapat lima sub-spesies harimau dalam Genus Panthera yang masih hidup pada masa sekarang dari jumlah asal lapan sub-spesies harimau moden. Tiga sub-spesies harimau yang selebihnya telah pun dianggap pupus secara rasmi. Sub-spesies harimau yang diketahui adalah seperti berikut:-
1. Harimau Indochina (Panthera tigris corbetti) - yang terdapat di kawasan hutan hujan dan padang rumput Malaysia, Kemboja, China, Laos, Myanmar, Thailand, dan Vietnam.
2. Harimau Bengal (Panthera tigris tigris) - yang terdapat di kawasan hutan hujan dan padang rumput Bangladesh, Bhutan, China, India, dan Nepal.
3. Harimau Cina Selatan (/amoy) (Panthera tigris amoyensis) - yang tinggal di kawasan hutan hujan dan padang rumput tengah dan barat China.
4. Harimau Siberia (Panthera tigris altaica) - atau juga dikenali sebagai Amur, Ussuri, Harimau Timur Laut China, atau harimau Manchuria. Harimau Siberia tinggal di kawasan hutan hujan dan padang rumput China, Korea Utara, dan Asia Tengah di Russia.
5. Harimau Sumatra (Panthera tigris sumatrae) - yang tinggal hanya di kepulauan Sumatera, Indonesia.
6. Harimau Caspian (Panthera tigris virgata) - yang telah pupus sekitar 1950an. Harimau Caspian ini pernah berkeliaran di kawasan hutan hujan dan padang rumput Afganistan, Iran, Mongolia, Turki, dan kawasan Asia tengah Russia.
7. Harimau Jawa (Panthera tigris sondaica) - yang telah pupus sekitar 1972. Harimau Jawa pernah berkeliaran di kawasan hutan hujan kepulauan Jawa, Indonesia.
8. Harimau Bali (Panthera tigris balica) - yang telah pupus sekitar 1937. Harimau Bali pernah berkeliaran di kawasan hutan hujan kepulauan Bali, Indonesia.
Dalam kebudayaan Asia, harimau merupakan simbol kekuasaan dan keberanian dan pernah digunakan sebagai petanda (yang bertanggungjawab untuk melaksanakan hukuman bunuh). Pesalah akan dikurung bersama harimau untuk dibunuh. Hanya kaum bangsawan dibenarkan memburu harimau dan mereka telah mendirikan kawasan perburuan yang luas untuk memastikan bekalan harimau yang mencukupi untuk pemburuan. Kawasan perburuan ini secara tidak langsung bertindak untuk mengekalkan spesies harimau. Bagi bangsa Melayu pula, harimau dikaitkan dengan keberanian dan ketangkasan.
dewa Durga digambarkan menunggang harimau serta memakai kulit harimau menunjukkan peranannya sebagai pemusnah. Dalam ugama Buddha, pengikut Buddha menaiki harimau untuk menunjukkan keupayaan mereka mengalahkan kuasa jahat. Harimau dipuja sebagai dewa dikalangan penduduk hutan di India Di Sumatera pula, harimau dipercayai memberi pembalasan kepada mereka yang berdosa. Terdapat juga kepercayaan mengenai manusia yang boleh menjelma menjadi harimau jadian atau memelihara harimau jadian untuk maksud tertentu
Harimau telah digambarkan dalam hasil seni Wangsa Shang Cina semenjak 1700 hingga 1050 B.C. Orang-orang Shang percaya bahawa harimau merupakan perutusan antara alam manusia dengan alam roh. Dalam Wangsa berikut, termasuk Wangsa Zhou 1050 hingg 221 B.C. harimau mula digambarkan dengan lebih nyata dengan bahu harimau yang penuh berotot, lengan dengan kuku yang panjang, dan kepala yang mempunyai taring yang mengancam. Lagenda harimau mengkagumkan generasi berikutnya dan gambaran harimau diletakkan dimakam untuk menghalau roh jahat dan menjaga roh simati. Lukisan harimau tidur berhampiran sami Buddha sebagai simbol kekuasaan Buddha ke atas kuasa alam dan binatang buas. Pada abad ke 20, artis China melukis gambaran harimau sebagai simbol kebangsaan. Harimau merupakan spesies terbesar dalam keluarga kucing, melebihi saiz singa, jaguar, cheetah, ataupun harimau bintang.
Harimau juga merupakan haiwan pemangsa terbesar dalam keluarga harimau (big cats). Harimau sub-spesies Siberia adalah harimau terbesar, sementara harimau sub-spesies Sumatera adalah harimau terkecil. Harimau jantan juga mempunyai saiz badan yang lebih besar daripada harimau betina. Harimau memburu dengan senyap dan tangkas, kebolehannya untuk menyelip dan muncul secara tiba-tiba untuk menyerang mangsanya adalah satu kebolehan yang amat luar-biasa apabila mengambil kira saiznya yang besar dengan berat badannya itu. Ini menjadikan harimau dianggap mempunyai kuasa mistik dan penuh misteri. Bentuk tubuh harimau sememangnya direka melalui proses evolusi sebagai haiwan pemangsa untuk memburu mangsa yang besar. Kaki belakangnya adalah lebih panjang daripada kaki hadapannya untuk memberikan kelebihan kepada harimau untuk menerkam sehingga jarak 9 meter (30 kaki) dengan sekali lompatan untuk menangkap mangsanya. Bahagian hadapan dan bahunya mempunyai otot yang tebal dan kental. Tapak kakinya dilengkapi dengan kuku panjang yang boleh ditarik masuk dan keluar dengan pantas. Keupayaan ini membolehkan harimau bergerak dengan senyap tatapi pada masa yang sama mampu mencakar atau mencekam mangsa dengan pantas dan kuat. Rahang harimau yang lebih pendek berbanding keluarga harimau lain (other big cats) memberikan kekuatan tambahan kepada rahang harimau ketika membaham mangsanya.
Harimau Siberia jantan yang dewasa boleh mencapai kepanjangan sehingga 3.96 meter (13 kaki) dengan berat melebihi 362.81 kilogram (800 paun). Harimau Bengal jantan yang dewasa pula boleh mencecah 3.05 meter (10 kaki) panjang dengan berat badan sehingga 249.43 (500 paun), sementara harimau betina mempunyai berat 136.05 kilogram (300 paun) dengan panjang sehingga 2.74 meter (9 kaki). Belang harimau berbeza bergantung kepada musim, iklim tempatan, lokasi termasuk saiz, belang, terangan warna, dan panjang bulu. Warna latar harimau berbeza antara kuning keperangan terang sehingga warna merah yang dilitupi dengan belang selalunya berlapis, merentangi secara menegak dari satu sisi melampaui kebelakang hingga ke sisi bersebelahan. Bahagian bawah dagu dan bawah biasanya bewarna keputihan, berbeza dengan warna latar dan warna belang.
Kawasan harimau didapati telah berkurangan secara mendadak semenjak kebelakangan ini. Pada masa dahulu harimau banyak di hutan hujan tropika dan padang rumput yang dipenuhi hidupan liar dan melitupi sebahagian besar kawasan di Asia. Pada awal 1900'an dianggarkan terdapat melebihi 100,000 harimau di kawasan Asia termasuk 40,000 di India. Tetapi jumlah harimau ini dianggarkan menurun kepada bilangan 4,000 ekor sahaja pada awal tahun 1970'an. Jumlah sebenar harimau yang hidup liar tidak dapat dikira dengan tepat dan hanya merupakan anggaran sahaja. Kegiatan pemburuan haram memburukkan lagi disebabkan jumlah harimau yang dibunuh tidak dilapurkan, oleh itu jumlah harimau yang dianggarkan masih hidup sentiasa melebihi jumlah harimau sebenar.
Kesemua keluarga kucing boleh berenang sekiranya terpaksa, tetapi kebanyakan spesies kuching besar akan mengelak air kecuali untuk minum. Hanya harimau dan jaguar gemar untuk mandi atau berendam di dalam lopak, tasik, dan sungai. Harimau yang tinggal di kawasan hutan lembab di India dan Asia sering didapati berendam secara duduk atau berdiri sehingga paras leher di dalam air tasik atau sungai sebagai satu cara menyejukkan badan mereka. Ini mungkin disebabkan harimau merupakan seekor haiwan pemburu yang aktif menyebabkan harimau mempunyai kadar metabolisma yang tinggi. Secara langsung, ini menyebabkan harimau mempunyai suhu badan yang tinggi. Suhu badan yang terlalu panas ini boleh membunuh harimau. Pernah seekor harimau sarkas spesies Siberia yang berada dalam kurungan didapati mati secara mendadak di Sunway Lagoon akibat bahang panas (heat stroke).
Warna celoreng belang harimau kelihatan menonjol dan amat ketara apabila dilihat di dalam zoo, tetapi belang tersebut menjadi satu penyamaran yang baik dalam habitat asal harimau ketika berada di celah rumput gajah (elephant grass) dan semak samun ketika harimau mengendap mangsanya. Seorang ahli keluarga yang pernah mengalami pertembongan dengan harimau menceritakan bahawa pernah seekor harimau yang menyelinap dicelah-celah pokok senduduk, berjaya mencuri ikan yang ditangkapnya ketika dia berada dalam jarak 50 ela tanpa sedikitpun disedarinya. Dia hanya mengetahui adanya harimau dengan berpandukan kesan tapak kaki yang tinggal. Nasibnya baik kerana harimau itu hanya mencuri ikan dan bukannya jenis harimau pembunuh manusia. (Ketika itu dia menangkap ikan dalam kawasan hutan dan bukannya dikawasan penempatan kekal)
Warna celoreng belangnya menjadikan bentuk harimau tidak ketara apabila harimau mengendap dan bersedia untuk menerkam mangsa buruannya. Harimau merupakan haiwan pemburu yang gemar memburu secara bersendirian atau ketika menyerang hendap mangsa yang bersaiz serdahana dan besar seperti kancil, pelanduk, rusa, bab*, kijang , dan kerbau liar. Harimau juga mampu dan pernah dirakamkan membunuh badak sumbu, anak gajah, kerbau, rusa spesies moose, anak tenuk, buaya, malah harimau juga tidak teragak-agak untuk menangkap haiwan ternakan apabila haiwan liar yang biasa menjadi mangsanya telah berkurangan. Harimau pada kebiasaannya memburu secara bersendirian akan merayau-rayau mencari mangsa dan tidak hanya sekadar menunggu untuk menyerang hendap mangsa.
Harimau biasanya mula memburu pada lewat petang apabila cuaca tidak lagi panas. Harimau akan mula untuk memburu dan merayau sehingga melebihi jarak 12 batu untuk mencari mangsa. Harimau pada kebiasanya akan mengikuti jejak haiwan termasuk jalan raya dan denai buatan manusia dan akan sentiasa berwaspada dengan setiap bunyi atau pergerakan, walau sekecil manapun. Harimau memburu dengan cara mengendap untuk menghampiri mangsanya dengan bersembunyi dicelah rimbunan tumbuhan, sehingga pada jarak beberapa meter sahaja daripada mangsanya. Harimau akan bergerak dengan penuh berhati-hati dan akan melangkah setapak demi setapak secara terhenti-henti untuk membolehkannya menilai keadaan sekeliling. Apabila sudah menghampiri mangsa, harimau akan menghulur kepalanya, sambil merendahkan badan ke tanah, telinganya dileperkan ke kepala ketika mengendap mangsa. Pada saat yang baik, harimau akan menghambur ke arah mangsa dalam beberapa lompatan sahaja, sebelum menglibaskan kakinya kepada mangsa untuk menjatuhkan mangsa dengan menggunakan seluruh berat tubuhnya, pada masa yang sama mengelakkan libasan balas tanduk dan kaki mangsa.
Harimau pada kebiasaannya akan menyerang dari arah belakang dan sisi dan membunuh mangsa dengan menggigit kerongkong atau belakang leher mangsa dengan menggunakan giginya. Rahang yang pendek dan otot mukanya yang kuat membolehkan harimau menggigit dengan kuat sehinggakan pada kebiasaannya mampu mematahkan leher mangsa. Mangsa harimau akan mati akibat patah tengkuk atau mati lemas kerana tidak dapat bernafas. Bagaimanapun harimau tidak selalunya berjaya dalam pemburuannya dan pada kebiasaannya harimau hanya berjaya mendapatkan tiga mangsa bagi setiap sepuluh pemburuan.
Apabila harimau berjaya menangkap mangsa, pada kebiasaannya harimau akan menarik bangkai mangsa ke dalam semak samun dan akan makan sehingga petang dan sepanjang malam. Harimau tersebut hanya berhenti untuk minum sekali sekala. Harimau mampu untuk makan 50 hingga 70 paun daging sepanjang malam dan akan mula makan pada bahagian punggung dahulu dimana terdapat paling banyak daging. Harimau biasanya akan duduk berdekatan dengan bangkai mangsa, menyorok dalam semak samun berhampiran, sentiasa bersedia untuk mempertahankan makanannya daripada haiwan pemakan bangkai yang lain. Bagaimanapun, fakta yang agak menghairankan adalah harimau akan membenarkan harimau yang tidak mempunyai kaitan dengannya untuk makan baki hasil tangkapannya. Harimau akan makan untuk selama beberapa hari bergantung kepada saiz mangsa sehingga habis, walaupun daging tersebut telahpun busuk dan berulat. Ini menunjukkan harimau mempunyai deria rasa yang kurang berkembang. Dalam tempoh itu, harimau akan menyorok bangkai mangsa di bawah timbunan daun, dahan pokok, atau rumput.
Ibu harimau juga mempunyai sifat penyayang terhadap anaknya. Walaupun bengis, harimau betina yang mempunyai anak kecil akan membenarkan anaknya untuk makan terlebih dahulu walaupun ia terpaksa berlapar. Ini adalah berbeza jika dibandingkan dengan singa yang mana mempunyai giliran makan, di mana singa jantan utama akan makan dahulu, diikuti dengan singa jantan lain, singa betina utama dan kemudiannya oleh yang lain-lain. Secara amnya harimau hanya berjaya menangkap mangsa dalam 30 peratus pemburuan, tetapi ini bergantung kepada kepadatan mangsa, keadaan sekeliling, faktor umur, dan lain-lain.
Walaupun harimau mempunyai cara hidup bersendirian, harimau berjaya dibela dalam kurungan secara berkumpulan, dan kumpulan kecil harimau pernah dilihat berkerjasama dalam pemburuan. Ini menunjukkan bahawa harimau dapat bertolak ansur untuk hidup berkumpulan. Harimau telah berkembang dalam keadaan sekeliling yang tidak membenarkan perkembangan pergaulan sosial berkelompok yang rumit tetapi masih mengekalkan kewujupan sistem sosial yang longgar. Ibu harimau mungkin akan memburu dengan anaknya yang remaja, atau sekumpulan harimau yang mempunyai pertalian darah mungkin akan berkerjasama secara sementara untuk memburu. Harimau juga akan memburu bersama pasangannya pada musim mengawan, tetapi ini hanyalah satu gabungan sementara selama beberapa minggu ketika harimau betina berada dalam tempoh mengawan.
Harimau juga mempunyai deria bau yang kuat dan dalam satu kajian, harimau dapat mengesan bau manusia pada jarak 150 kaki yang berdiri dari arah angin bertiup kearah harimau. Deria bau ini sudah pasti banyak membantu harimau ketika memburu di dalam hutan hujan tropika yang tebal, di mana pandangan harimau terhalang. Selain itu, deria bau yang kuat itu digunakan untuk mengesan harimau betina yang ingin mengawan, mengelak kawasan yang ditanda oleh harimau jantan, dan mengenal pasti harimau yang menceroboh. Harimau menghasilkan pelbagai bunyi termasuk mengaum, mendengus, batuk, dan menderam. Harimau menderam pada pelbagai waktu termasuk berinteraksi ketika makan, atau mengancam, dan harimau juga mengaum ketika mencari pasangan. Harimau akan mendengus sebagai satu cara menyapa antara harimau atau kepada anak haimau.
Selain itu, harimau juga menggunakan pelbagai cara untuk menanda kawasannya sebagai cara berhubung antara sesama sendiri. Meninggalkan kesan bau di pokok, semak, dan batu sepanjang denai dengan air kencing bercampur rembesan daripada kelenjar dibahagian dubur, najis yang ditinggalkan di tempat terang, dan tanda cakaran merupakan cara perhubungan di antara harimau. Harimau akan menandakan kawasannya dengan kencing anggaran setiap 50 kaki. Air kencing yang ditinggalkan mampu kekal berbau hapak dan mencucuk hidung dan akan tahan selama beberapa bulan.
Mencakar pokok yang menonjol sepanjang sempadan kawasan juga menjadi papan tanda amaran jangan menceroboh. Bahan kimia dan tanda yang ditinggalkan memberikan banyak maklumat kepada harimau berjiranan tanpa perlu bersemuka. Harimau jantan dapat mengenalpasti keadaan mengawan harimau betina dan harimau yang menceroboh akan mendapat amaran mengenai kehadiran tuan punya kawasan, dengan itu mengelakkan pertembungan yang boleh berakhir dengan pertarungan atau kecerderaan sesama harimau.
Harimau jantan akan mempertahankan kawasannya daripada pencerobohan harimau jantan lain yang melalui kawasannya, tetapi boleh berkongsi kawasan dengan beberapa ekor harimau betina. Harimau betina yang bersedia untuk mengawan akan menghasilkan rembesan yang ditinggalkan bersama air kencing, menderam, dan mengaum untuk menarik perhatian harimau jantan yang tinggal berdekatan. Harimau betina bersedia untuk mengawan setiap tiga hingga sembilan minggu dan subur selama tiga hingga enam hari. Harimau jantan mungkin terpaksa mendekati harimau betina selama beberapa hari sebelum diterima dan mereka akan bersama sehingga 100 kali selama beberapa hari berikutnya. Selepas bunting purata selama 104 hari, dua hingga lima ekor anak harimau akan dilahirkan. Purata hanya dua ekor akan selamat hingga dewasa.
Anak harimau dilahirkan buta dan tidak berdaya, dengan berat anggaran 2.2 paun seekor dan sudahpun mempunyai warna dan belang. Anak harimau akan dibesarkan oleh harimau betina secara bersendirian yang akan meninggalkan mereka di kawasan tersembunyi ketika mereka memburu. Harimau betina akan kembali memberikan susu kepada anaknya setiap beberapa jam sekali. Anak harimau akan mula celik pada minggu kedua dan akan mula memakan daging pada minggu kelapan. Anak harimau akan berhenti menyusu setelah berusia enam bulan dan bersendiri setelah mencecah usia 18 bulan, walaupun mereka mungkin akan tinggal dalam kawasan ibu harimau sehingga berusia 2 1/2 tahun. Anak harimau terancam oleh haiwan pemangsa termasuk harimau lain ketika mereka ditinggalkan semasa ibu harimau keluar memburu. Oleh itu, ibu harimau kerap memindahkan anak-anaknya ketempat yang lebih selamat. Ibu harimau akan memindahkan anak-anaknya sebanyak beberapa kali dengan menggonggong mereka, dan memanggil mereka untuk mengekorinya setelah mereka lebih dewasa. Anak harimau mula belajar memburu dan lebih bersikap berdikari apabila berusia satu tahun. Ibu harimau juga akan mula membenarkan anak harimau untuk membunuh buruan yang ditangkap olehnya.
Harimau jarang menjadikan manusia sebagai mangsa dan akan mengelak manusia secara naluri semulajadi, bagaimanapun pertembungan manusia dengan harimau boleh berlaku dan banyak kes telah direkodkan dengan jelas. Apabila manusia mengganggu imbangan mangsa dan pemangsa dengan meneroka kawasan hutan dan membawa masuk haiwan peliharaan, ini menjadikan mangsa harimau berkurangan. Apabila ini terjadi, harimau akan mula beralih kepada haiwan peliharaan seperti kerbau atau lembu, dan mangsa manusia pertama biasanya adalah pengembala lembu atau kerbau. Apabila harimau mendapati manusia sebagai mangsa yang mudah dan tidak berdaya, harimau akan mula memburu manusia.
Terdapat usaha untuk membiak harimau di dalam zoo dengan tujuan pengekalan sub-spesies. Harimau ini akan digunakan untuk penempatan semula harimau dikawasan yang selamat dimasa akan datang. Untuk tujuan ini, jumlah harimau yang diperlukan adalah bermula dengan 30 harimau liar dengan jumlah sasaran sebanyak 120 ekor harimau sebelum dilepaskan hidup liar. Jumlah ini dapat mengelakkan kelemahan gen disebabkan pembiakan sesama sendiri (cross-breading).
Berasaskan jumlah di atas, nasib rumpun kumpulan harimau liar yang berjumlah lebih kecil dari 30 ekor di sesuatu kawasan amatlah membimbangkan dan persoalannya pada masa kini adalah apakah harimau akan lenyap sebagaimana lenyapnya dinasor dari pada muka bumi Allah ini. Oleh itu kita perlulah lebih peka kepada nasib hidupan liar dan berusaha untuk mengekalkan hidupan liar dan mengelakkan mereka daripada diancam kepupusan.