Rasulullah s.a.w. pernah bersabda maksudnya; "Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik." Sultan Muhammad Al Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 dan mangkat pada 3 Mei 1481. Detik kelahirannya pun sudah mengisyaratkan bahawa ia bakal menempa sejarah yang besar. Kejayaan yang bakal ditempanya sudah dapat dirasai apabila berita kelahirannya disampaikan kepada ayahandanya Sultan Murad, tepat ketika baginda sedang membaca Al Quran pada ayat yang bermaksud; "Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata"(Al Fath:1)Semenjak dari kecil dia sudah diajar dan dididik dengan ilmu agama.Panglima-panglima tentera telah dijemput oleh ayahnya untuk mengajarnya ilmu peperangan. Bentuk badannya tegap, kuat dan tinggi. Pipinya putih kemerah-merahan dan hidungnya mancung. Baginda merupakan cendekiawan ulung di zamannya dan sudah menjadi tradisinya mengumpulkan ulama-ulama untuk berbincang. Sifatnya tenang, berani, sabar menanggung penderitaan, tegas dalam membuat sesuatu keputusan dan mempunyai kemampuan mengawal diri yang luarbiasa. Kemampuannya dalam bidang pentadbiran dan pengurusan sangat menonjol. Baginda sangat kuat menyimpan rahsia pemerintahannya sekalipun terhadap sahabat-sahabat dan saudara-saudaranya yang terdekat. Sultan Murad begitu menitikberatkan tarbiah kepada anaknya.Hati anaknya telah ditempa dengan jiwa jihad dan ilmu peperangan semenjak kecil lagi. Dia tidak dimanjakan, walaupun beliau hidup dalam istana. Jiwa mujahid dan abid berpadu sekali. Inilah merupakan ketua yang malamnya bagai rahib merintih pada ALLAH dan sangat kuat beribadah manakala siangnya bagaikan singa-kuat berjuang.Dengan tujuan mendidik, sewaktu berumur 16 tahun pernah Sultan Muhammad Al Fateh diberi kepercayaan oleh ayahandanya untuk memangku jawatannya sebagai pemerintah Turki semasa Sultan Murad pergi ke Pulau Magnesia untuk bersuluk. Beliau mula menduduki takhta pada masa umurnya 19 tahun. Di kala itu baginda sudah begitu arif mengenai tipu helah musuh. Di waktu itu Maharaja Kristian dari Konstantinopel telah mengirim guru-guru terbaik untuk mendidiknya tentang adab dan adat istiadat kehidupan raja-raja, beliau menyuruh guru-guru tersebut pulang sambil berkata "Haram hukumnya seorang Islam ditarbiah oleh orang kafir." Sewaktu pemerintahannya juga, baginda membangunkan sebuah benteng yang dinamakan Rumeli Hisarri yang bermaksud benteng orang-orang Rom. Baginda sendiri membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga dengan itu ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut kerja juga. Melihatkan usaha Sultan Muhammad Al Fateh itu, gementarlah hati kaisar, Maharaja Rom. Benteng tersebut siap dalam masa tiga bulan. Dari benteng itu, dikawal dengan rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Dan dari situ juga beliau mempersiapkan kelengkapan untuk membebaskan Konstantinopel - cita-cita utamanya untuk merealisasikan hadith yang telah disabdakan Rasul tercinta 700 tahun sebelumnya.Setelah persiapan taqwa dan kekuatan lahiriah telah mantap, peperangan dimulakan. Berbulan-bulan lamanya berlaku peperangan, namun belum tampak tanda-tanda kemenangan di pihak tentera Islam. Muhammad Al Fateh pun merujuk guru mursyidnya, Shamsudin Al Wali bilakah masanya benteng Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam.Gurunya melalui firasat memberitahu: pada hari yang ke 53, hari Selasa... pukul 11.00 pagi.Di sepanjang tempoh menunggu tersebut, kesemua tentera menghabiskan masa dengan perjuangan yang gigih di siang hari serta mempertingkatkan ibadah di malam hari. Pada hari yang diisyaratkan itu, Hassan Ulubate, seorang tentera Al Fateh merebut bintang sebagai syahid dengan melompat ke atas kubu musuh dan memacak bendera di situ. Beliau gugur demi membuka pintu kemenangan kepada sahabat-sahabatnya yang lain. akhirnya pada 29 Mei 1453, baginda berjaya menawan Konstantinopel. Beliau telah membuktikan kebenaran hadith Rasulullah
Konstantiniah telah ditukar nama kepaa Islambol (Islam keseluruhan) yang mana kini dikenali dengan nama Istanbul. Sejarah mencatatkan bagaimana baginda menunjukkan sikap berlemah lembut dan bertoleransi yang sangat mengagumkan. Rakyat pada ketika itu diberi kebebasan untuk beragama. Semua gereja yang ada dikekalkan untuk Kaum Nasrani beribadah kecuali gereja Aya Sophia telah ditukarkan kepada masjid. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke mukanya dan terus sujud syukur apabila meraih kejayaan tersebut Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapakah selayaknya menjadi imam. Muhammad Al Fateh memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya untuk bangun dan baginda lantas berkata. "Siapa di antara kamu sejak balighnya hingga ke saat ini pernah meninggalkan sembahyang fardhu sila duduk!" Tiada seorang pun yang duduk, melambangkan tidak ada seorang pun di antara mereka yang pernah meninggalkan sembahyang fardhu.Muhammad Al Fateh berkata lagi, "Siapa di antara kamu yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan sembahyang sunat rawatib sila duduk!" sebahagian daripada tenteranya duduk. Muhammad Al Fateh meneruskan lagi, "Siapa di antara kamu yang sejak baligh hingga ini pernah meninggalkan sembahyang tahajjud, sila duduk!" Kali ini seluruh tenteranya duduk, kecuali seorang. Dia itu tidak lain tidak bukan ialah Muhammad Al Fateh sendiri. Dialah orang yang tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat Rawatib dan solat Tahajjud sejak akil baligh. Inilah dia anak didikan Shamsuddin Al Wali dan dialah ketua yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w. Tazkirah :Contoh kepimpinan yang telah ditonjolkan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh wajar dicontohi oleh pemimpin masyarakat zaman ini. Keseimbangannya dalam IQ (intelectual quotient),EQ (emotional quotient) dan SQ (spiritual quotient) nyata menjadi senjata utuh Sultan Muhamad Fateh untuk memimpin rakyatnya kearah kegemilangan Islam.