Input Draf Ucapan Hari Air Sedunia
Kepentingan Kualiti Air : Cabaran Dan Peluang
1) Air sebagai keperluan asas
Air merupakan keperluan asas manusia dan kehidupan di dunia ini. Berdasarkan fakta saintifik dan perubatan, tubuh manusia terdiri daripada 50-60% komponen air. Justeru tanpa makanan manusia boleh bertahan sehingga beberapa hari namun tanpa air dalam waktu yang singkat manusia akan mati akibat faktor dehidrasi.
Malaysia merupakan sebuah Negara yang kaya dengan sumber alam termasuk air. Sumber air mentah yang diproses untuk bekalan air bersih kebanyakannya adalah dari sungai (88%), empangan (11%) manakala air bawah (1%).
Sebahagian besar penduduk Malaysia mendapat bekalan air bersih iaitu 100% di kawasan bandar manakala hampir 90% di kawasan luar bandar. Dalam setahun dianggarkan sebanyak 3,052,222 juta liter air bersih digunakan iaitu 66% terdiri dari bekalan domestik dan 34% untuk kegunaan industri.
Sebahagian besar penduduk di dunia ini masih tidak mendapat bekalan air bersih yang berkualiti. Berbagai penyakit bawaan air seperti taun dan cirit birit timbul di Negara terbabit akibat meminum air yang tercemar. Berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dianggarkan seramai 1.8 juta manusia mati akibat penyakit cirit birit di seluruh dunia setiap tahun.
2) Statistik Taburan Air
97% air di planet bumi terdiri daripada air laut/air masin, 2% terdiri daripada ais/glacier manakala kurang dari 1% terdiri dari air tawar yang boleh digunakan oleh manusia.
Taburan air juga tidak sekata di dunia ini. Contohnya 30% sumber air sungai terdapat di benua Asia (tidak termasuk Asia barat),17.9% di Amerika Utara, dan 27.6% di Amerika Selatan.
Di Malaysia, walaupun jumlah air mentah/sumber air permukaan secara amnya melebihi keperluan penduduk, namun akibat taburan penduduk yang tidak sekata menyebabkan proses pemindahan air mentah terpaksa dilakukan contohnya pemindahan air dari Sg Muar ke Melaka dan terbaru ialah projek pemindahan air dari Pahang ke Selangor yang dijangka menelan belanja sebanyak RM4 billion.
3) Peranan SPAN Berkaitan Kualiti Air
SPAN telah ditubuhkan pada bulan April 2007 bersempena Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air 2006 (Akta 654) untuk memantau dan menguatkuasa Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan semua undang-undang subsidiari di bawahnya.
Penekanan kepada kualiti air turut disebut dalam Akta IPA 2006 di bawah seksyen 41 iaitu seperti berikut :
Seksyen 41 (1) : Pemegang lesen pengagihan air hendaklah, apabila membekalkan air ke mana-mana premis, memastikan bahawa kualiti air yang dibekalkan mematuhi standard kualiti minimum, yang ditetapkan oleh menteri, pada masa pembekalan.
Standard minimum tersebut adalah berdasarkan standard kualiti air minum kebangsaan yang ditetapkan oleh KKM yang merujuk standard dan panduan WHO.
Seksyen 41 (4) : Mana-mana pemegang lesen pengagihan air yang melanggar subseksyen 41(1) atau 41(2) melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM 300,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
SPAN juga dalam proses mewartakan Peraturan Kualiti Air di bawah seksyen 41 IPA 2006 dalam masa terdekat sementara menunggu Akta Air Minum Selamat oleh KKM dibentang dan diluluskan di Parlimen.
Selain itu SPAN juga dalam proses memuktamadkan peraturan penyelengaraan tangki air di bangunan tinggi/pangsapuri di bawah akta IPA 2006 bagi memastikan kerja-kerja cucian tangki dilakukan secara berjadual bagi menjamin kualiti air yang dibekalkan sentiasa selamat dan memuaskan pengguna.
4) Kualiti Air Sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI)
SPAN juga telah menetapkan Kualiti Air sebagai salah satu daripada enam (6) KPI berdasarkan seksyen 180 (a)(iv) “ Suruhanjaya boleh membuat apa-apa kaedah bagi semua atau mana-mana perkara berikut : (a) memperuntukkan standard prestasi dan penerimapakaian petunjuk prestasi utama (KPI) bagi sistem bekalan air dan sistem pembentungan.
Buat permulaan SPAN telah menetapkan lima parameter kualiti air utama ke atas operator air iaitu bakteria E. Coli, Baki Klorin Bebas, Gabungan E. Coli dan Baki Klorin Bebas, Kekeruhan dan Aluminium. Penetapan 5 parameter tersebut adalah berdasarkan kepada 5 parameter yang ditetapkan oleh KKM dalam program QAP (Quality Assurance Program).
5) Kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan SPAN
SPAN bekerjasama rapat dengan KKM dalam aspek pemantauan kualiti air. Pihak SPAN melakukan audit teknikal termasuk aspek kualiti air di dalam sistem bekalan air iaitu di loji dan kawasan agihan di seluruh Malaysia termasuk WP Labuan kecuali Sabah dan Sarawak.
Sehingga tahun 2008 sejumlah 140 (43%) sistem bekalan air yang terdiri dari loji rawatan air dan sistem agihan air telah di audit oleh SPAN.
Untuk makluman, program pengawasan mutu air telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan sejak merdeka di mana program ini telah ditingkatkan struktur pengawasan kepada program kawalan mutu air setelah berlaku kekerapan wabak penyakit bawaan air di beberapa buah negeri pada tahun 1982.
Program Kebangsaan Kawalan Mutu Air Minum (PKKMAM) telah dimulakan pada tahun 1983 untuk meningkatkan taraf kesihatan orang ramai dengan memastikan air minum yang dibekalkan adalah selamat dan boleh diterima oleh pengguna.
Pemantauan kualiti air dilakukan bermula dari mukasauk loji rawatan air hingga ke kawasan paip agihan pengguna. KKM melakukan kerja-kerja persampelan dan analisa air insitu manakala analisa air di makmal dilakukan oleh Jabatan Kimia Malaysia.
Pada tahun 1993 KKM telah memperkenalkan QAP di bawah PKKMAM kearah pelanggaran sifar kualiti air. Parameter utama yang ditetapkan ialah bacteria E. Coli, Baki Klorin Bebas, Gabungan E. Coli dan Baki Klorin Bebas, Kekeruhan dan aluminium.
Berdasarkan statistik dalam Laporan PKKMAM KKM sehingga Jun tahun 2009 bagi nilai purata seluruh Malaysia dan Labuan kecuali Sabah dan Sarawak, 4 dari lima parameter QAP telah mencapai tahap pematuhan yang disasarkan iaitu seperti berikut :
E. Coli, 99.8% (sasaran 99.6%), Baki Klorin 97.8% (sasaran 97.7%), Gabungan E. Coli + Baki Klorin 99.9% (sasaran 99.8%), Aluminium 96% (sasaran 95%), manakala kekeruhan hampir mencapai sasaran iaitu 96.7 % (sasaran 98%).
Berdasarkan statistik Laporan mengikut negeri , terdapat beberapa buah negeri yang telah berjaya mencapai tahap pencapaian QAP yang ditetapkan bagi kelima-lima parameter antaranya Pulau Pinang, Selangor, WP KL, WP Putrajaya, Melaka dan Trengganu. Syabas diucapkan kepada keenam-enam negeri tersebut. Terdapat juga beberapa negeri yang hanya mencapai sasaran satu atau 2 parameter sahaja dan diharap dapat meningkatkan prestasi masing-masing kearah matlamat pelanggaran sifar kualiti air.
6) Cabaran
Selaras dengan peningkatan taraf sosio ekonomi dan pendidikan, pengguna kini semakin bijak dan peka dengan tahap kualiti air. Jika dahulu kuantiti air menjadi isu utama kini kualiti air turut diberi perhatian serius oleh pengguna.
i) Penggunaan Penapis Air Domestik
Walaupun sebahagian negeri telah mencapai tahap standard kualiti air yang ditetapkan oleh KKM namun keyakinan dan tanggapan pengguna terhadap kualiti air paip dilihat seolah-seolah menurun. Penggunaan alat penapis air domestik di rumah kediaman dan pejabat semakin ketara.
Pihak KKM dengan kerjasama NAHRIM dan UPM telah membuat kajian mengenai penggunaan penapis air domestik di Malaysia dan persepsi pengguna terhadap kualiti air paip yang dibekalkan.
Hasil kajian awal mendapati lebih kurang 60% pengguna di kawasan lembah kelang menggunakan penapis air domestik di kediaman masing-masing atas alasan bagi meningkatkan kesihatan dan mengurangkan masalah air yang keruh, berwarna dan berbau terutama apabila selepas gangguan bekalan air akibat paip pecah dan sebagainya.
Justeru pihak syarikat perbekalan air sewajarnya membuat kajian bagi meningkatkan tahap rawatan air jika perlu dan menyelenggara sistem agihan air secara lebih cekap dan efisien seperti melakukan kerja-kerja cucian kolam dan paip secara berjadual bagi memastikan kualiti air sentiasa terjamin dan memuaskan pengguna.
ii) Pencemaran Sumber Air Mentah
Sumber air mentah juga semakin tercemar akibat aktiviti manusia. Justeru pihak kerajaan melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi di bawah kerajaan negeri sentiasa melakukan pemantauan punca-punca pencemaran (point source) dan (non point) yang berpunca dari effluent industri , loji kumbahan, pepejal terampai akibat kerja-kerja tanah, effluent dari kawasan pasar dan restoran dan lain-lain.
Tindakan undang-undang yang sewajarnya perlu dikenakan ke atas kilang-kilang dan pemilik premis termasuk loji kumbahan yang tidak bertanggungjawab dan masih mencemarkan sumber air.
Kempen “Cintailah Sungai”, “Satu Negeri Satu Sungai” dan seumpamanya perlu dipergiatkan dan diberi nafas baru bersesuaian dengan perkembangan zaman ICT.
7) Peluang
i) Menjalankan R&D dan inovasi dalam bidang proses rawatan air dan kualiti air seperti mencipta produk/bahan koagulan yang mesra alam untuk merawat air.
ii) Malaysia berpotensi menjadi hub untuk produk dan teknologi rawatan air dan rawatan kumbahan bagi Negara membangun.
iii) Pelaburan oleh syarikat Malaysia dalam aspek pembinaan dan rawatan air di luar Negara contohnya syarikat Salcon.
iv) Pusat Latihan berkaitan proses rawatan air dan kualiti air juga berpotensi untuk diwujudkan bagi meningkatkan kompetensi sumber manusia yang mengendalikan sistem bekalan air.
v) Kajian penggunaan air bawah tanah sebagai sumber alternatif air mentah/simpanan air mentah kerana kualiti air yang lebih baik dan kos rawatan yang lebih menjimatkan.
8) Kesimpulan
Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi menjamin air yang dibekalkan sentiasa mematuhi tahap piawaian kualiti air yang ditetapkan dan selamat untuk diminum.
Kempen penjimatan air perlu diteruskan bagi menjamin air yang berkualiti digunakan secara berhemah dan tidak berlaku pembaziran.
Kealpaan dan sikap sambil lewa (take for granted) terhadap sumber air yang melimpah ruah akan memberi kesan negatif kepada kita semua begitu juga buat generasi akan datang.
Justeru keprihatinan semua pihak samada kerajaan ataupun swasta amatlah diharapkan dalam memastikan kelangsungan bekalan air yang berkualiti buat seluruh rakyat Malaysia selaras dengan konsep 1 Malaysia. Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.