25 Mei 2009

Kisah Taubat

Siang tidak selalunya cerah. Ada mendung dek awan yang menutupi dan hujan yang menerjah. Pada diri manusia, tiada siapa jua yang sempurna. Kesilapan adalah ciri manusia yang pelupa dan tersilap - namun itulah juga doa kita kepada Allah seperti mana tertera di akhir Surah al-Baqarah. Apabila kita tersilap atau terkurang dalam melaksanakan sesuatu, jiwa tergoncang. Apatah lagi di kala jiwa tidak cukup kuat menghadapinya. Apakah kaedah terbaik untuk menanganinya… Mari kita ikuti kisah Abdullah bin Umar.


Abdullah bin Umar berkata, “Aku pernah bergabung dalam satu pasukan yang dikirim Rasulullah. Ore ore banyak yang lari, dan aku jua ikut lari bersama. Kami saling bertanya-tanya , ‘Apa yang sebaiknya kita lakukan…

Kita sudah melarikan diri. Pasti kita akan dimarah besar. Andaikan kita kembali ke Madinah, tentu kita akan dijatuhi hukuman mati. Tapi ada baiknya jika kita menghadap Nabi dan menyatakan taubat, atau lebih baik kita pergi entah ke mana.”

Akhirnya kami putuskan untuk menghadap baginda sebelum solat subuh. Ketika kami sudah menghadap, Baginda bertanya, “Termasuk golongan manakah kalian?”
“Kami termasuk ore ore yang melarikan diri,” jawab kami.
“Tidak, tapi kalian termasuk ore ore yang menyerang. Aku termasuk golongan kalian dan golongan ore ore Muslim,” sabda baginda..

Lalu kami mendekati ke arah baginda dan kami menciumi tangan baginda. Riwayat al-Aswad menyebutkan , “Dan aku termasuk golongan setiap orang Muslim.” Begitulah yang disebutkan dalam al-Bidayah, 4/248. (Sirah Sahabat oleh Syeikh Muhammad Yusuf al-Kandahlawy ms187)


Tersebut adalah sebahagian kisah Abdullah bin Umar yang hebat
Abdullah bin Umar bukan calang-calang insan. Beliau adalah sahabat Rasul dan antara sahabat utama kepada Rasulullah, selain ayahnya Umar al-Khatab. Ketajaman pemikiran dan ilmu yang ada pada Umar tidak menjadikan dia sempurna. Walaupun fikiran tahu samada perlu lari atau tidak dari medan perang, namun emosi dan rohani ada kala dipengaruhi oleh bisikan syaitan dan godaan hawa. Beliau lari. Beliau berbuat silap dan menyesal.

Kata Muhammad Ahmad al-Rasyid dalam bukunya al-Awaiq (Rintangan)
Orang yang berjaya ialah mereka yang tidak melampau ketika di puncak ketaatan dan tidak terlanjur apabila daya ketaatannya jatuh; dengan berpandukan sabda Rasulullah saw:
Maksudnya: ” Setiap amalan ada kemuncaknya, setiap kemuncak akan menurun sesiapa yang menurun (tetapi masih berpegang) kepada sunnahku sesungguhnya dia mendapat petunjuk.” Imam Ahmad.
Allah ialah Yang Mohor Berkuasa. Allah ialah Yang Mohor Penerima Taubat. Apalah erti Yang Mohor Penerima Taubat jika tiada makhluknya yang bertaubat. Sabda Nabi di atas menjelaskan bagaimana membina emosi dengan panduan spiritual yang positif ketika terjelepuk untuk mentaati Allah. Ada masa kita berbuat kesilapan dan tidak disedari oleh manusia lain. Namun ada masa, kita tersilap, dan ada manusia lain yang sedar.
Abdullah b Umar juga bingung. Kalau kembali ke Madinah, akan dimarah besar. Amat memalukan. Tetapi kalau pergi ke tempat lain, adakah ia menyelesaikan masalah?

Psikologi atau emosi hamba Allah yang berbuat silap berada pada paras yang lemah lantaran ia berbuat dosa atau kesilapan. Dosa akan melemahkan jiwa. Emosi yang lemah akan terus lemah jika tidak disokong dengan keimananan sedia ada kepada Ilahi. Itulah kekuatan spiritual yang perlu dibina hari demi hari.

Ketika bersalah, pada siapa yang kita malu? Memang kita akan malu pada manusia. al-Hayaa’ minal Iman. Malu itu sebahagian dari iman. Namun pada siapakah yang layak malu… Allah tidak diendahkan sama sekali ketika bersendirian. Apabila jiwa dibina dengan emosi dan intelek semata-mata, kita hanya akan malu pada manusia. Namun kalau jiwa dibina oleh spiritual yang mendalam, kita bukan malu pada manusia sahaja. Yang lebih layak kita malu ialah kepada Pencipta kita - yang memberi amat banyak nikmat tanpa meminta balasan.


Jika kita ditegur oleh seseorang, walau mungkin dimarah sekalipun, apakah yang patut ada dalam fikiran kita untuk berani menghadapinya? Saya berani hadapi perkara ini, kerana inilah harga taubat saya. Inilah harga keimanan saya kepada Allah. Inilah harga untuk saya masuk syurga Allah dan mendapat redha-Nya. Saya bukan mencari redha manusia.


Untuk yang menegur

Bukan mudah untuk mengakui kesilapan. Hanya jiwa dengan spiritual yang menyerah pada Allah mampu mengakui kesilapan dan memohon maaf. Kalau kitalah individu yang menegur, atau disalahi oleh manusia lain tadi, belajarlah ilmu ikhlas dan ittiba’ (mengikut) kepada Rasul. Itulah intisari yang ditunjukkan dalam kisah Abdullah bin Umar di atas.

Apakah yang Rasul laksanakan? Rasulullah tidak menghenyak Abdullah bin Umar. Ketika silap, jiwa yang bersalah dalam keadaan lemah. Jangan dihenyak lagi dengan daya tambahan sehingga jiwa yang lemah itu terus jatuh dan tidak bangkit-bangkit lagi. Rasul faham hal ini. Kaedah Rasul menegur ada tahapnya. Kesilapan Kaab b Malik ketika tidak ikut perang - diberi teguran yang berat. Ketika Rasul bersama Arab Badwi yang kencing di masjid - diberi teguran yang amat lembut. Ketika bersama Abdullah b Umar, Rasul bertanya soalan berat “Termasuk golongan manakah kalian?” tetapi diakhiri dengan kelembutan ” Tidak, tapi kalian termasuk orang-orang yang menyerang.” Rasul tidak menyalahkan mereka 100%. Cukuplah penyeksaan dan rintihan hati mereka untuk taubat kepada Allah. Tidak perlu ditambah dengan soalan-soalan yang menghenyak jiwa yang bersalah.

Ketika kita menegur dengan menggunakan kaedah Rasul bersama Abdullah b Umar, pakailah kaedah “Apa yang anda lakukan?” tetapi diikuti “Saya yakin awak ingin melaksanakan kebaikan.” Perkataan yang hujung itu akan memberi nafas baru dan semangat kepada yang ditegur - agar ia mampu untuk membaiki kesilapan dan tidak merasakan dunia ini sudah berada di penghujungnya.

Bukannya dihenyak dan dilantak habis-habisan

Yang jelas dalam kisah Rasul bersama Kaab b Malik, Arab Badwi yang membuang air dan Abdullah bin Umar, Rasulullah tidak menghenyak si pesalah habis-habisan. Rasulullah tidak marah kerana insan tadi tidak mengikut kata-katanya 100%, tetapi Rasul menegur mereka kerana inginkan mereka taat kepada Allah. Kalau mereka sudah mengaku dan kembali pada Allah (taubat), itu sudah cukup.

Insan yang ingin dirinya ditaati, akan rasa tidak puas hati dan akan menghenyak-henyak si pesalah sampai tidak bermaya. Malah ia akan bertindak tidak memaafkan, memusuhi, membuat hukuman yang tidak tentu pasal malah lebih buruk dijaja kesilapan si pesalah di mana-mana sahaja. Itu bukan sunnah Rasul.

Mudah mudahan Allah beri hidayah kepada kita agar diberi kekuatan menjadi insan yang mengikut sunnah, ketika menegur dan ditegur. Siapalah kita selaku insan dhaif untuk bongkak …untuk ditegur dan menegur…


Inna Rahmati Ghalabat ghodhobi
Inna Rahmati Yu’ghlibu ghodhobi
Sesungguhnya RahmatKu lebih luas dari murkaKu


AtTa_ibu mnal zanbi kama la yanbalahu
Insan yang bertaubat seperti tidak melakukan dosa.

Inna Islama yajubbu ma kana Qoblahu
Sesungguhnya Islam menghapuskan dosa sebelumnya…