20 Januari 2009

PANDANGAN BERSEDERHANA KEPADA PENDAPAT ULAMA'

ULAMA': KITA HARUS BERSEDERHANA DALAM HAL MENGKAJI PANDANGAN ULAMA’

1. Umat Islam yang sedar akan kewajipan ilmu dan beragama dengan baik hari ini mempunyai aliran-aliran yang berbeza.
2. Sekadar contoh, ada kelompok yang terpisah kerana kefahaman kepartian parti politik. Ada kelompok yang terpisah kerana mengikuti sesuatu pandangan ulama. Maka muncullah istilah golongan-golongan tertentu seperti Sufi. Sufi begitu mengkagumi ulama-ulama dalam bidang kesufian. Dalam putaran darjah yang berlawanan, ada kelompok yang digelar Wahabi walaupun nama itu dibantah oleh kelompok tersebut. Kelompok ini menyanjung tinggi pandangan dan fatwa ulama-ulama ikutan seperti Syeikh Albani, Syeikh Ibn Baz, dan sebagainya.
3. Terdapat juga kelompok yang mengikut jamaah tertentu seperti Jamaah Tabligh. Terdapat juga kelompok gerakan Islam dan NGO seperti JIM, ABIM dan sebagainya.
4. Di antara kelompok-kelompok ini, ‘peperangan’ antara golongan yang pro-sufi dan pro-wahabi agak kuat.
5. Yang menyedihkan, para ulama juga dikelompokkan sebegitu rupa. Maka ada kumpulan yang menolak ulama-ulama tertentu dengan pelbagai tuduhan.
6. Tidak dinafikan, terdapat perbezaan pandangan antara para ulama. Dr. Ramadhan al-Buti ada menyanggah kefahaman Syeikh Albani, begitu juga sebaliknya. Mufti Mesir Dr. Ali Jumaat juga banyak menyatakan pandangan tidak bersetuju dengan para ulama daripada Saudi. Dr. Yusuf al-Qardhawi juga banyak disanggah oleh ulama yang lain. Syeikh Abdullah Hariri pula dituduh dengan beberapa tuduhan. Ulama-ulama silam juga dihentam dan seolah-olah diperlagakan antara satu sama lain.
7. Apa pendirian kita?
8. Sewajarnya para ulama dihormati. Apa jua pandangan yang mereka kemukakan, timbanglah dengan neraca ilmu. Mereka berijtihad untuk memahami Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Sudah tentu, ada ijtihad mereka yang benar, namun mungkin ada juga yang kurang tepat atau kurang sesuai. Tolaklah pandangan mereka dengan penuh adab.
9. Ambillah mutiara ilmu daripada para ulama. Ambillah ilmu hadis daripada Syeikh Albani tetapi janganlah fanatik kepada beliau. Manfaatkanlah ilmu Syiekh Abdullah Hariri. Kajilah pandangan Dr. Yusuf al-Qardhawi, Dr. Ramadhan al-Buti dan sebahagian besar para ulama.
10. Buanglah yang keruh, ambillah yang jernih.

DARI LAMAN USTAZ NIZAM